Hari keempat inkues kematian Zara Qairina Mahathir hari ini menyaksikan saksi, Dr Janefer Voo, 32, memberikan kenyataannya berhubung kes berkenaan.
Menurut Dr Voo yang juga pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE), pada 16 Julai, 4.38 pagi, beliau menerima Zara yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Antara kecederaan yang dialami mangsa termasuklah bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.
Selepas pemeriksaan, “Trauma Alert” diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.42 pagi, 16 Julai, bagi rujukan segera kepada pasukan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.
Artikel berkaitan: Inkues Zara Qairina: Ada Tulisan Tangan Dalam Buku Dipercayai Bukan Ditulis Arwah
Artikel berkaitan: Inkues Zara Qairina: Diari Milik Allahyarham Bakal Jadi Tumpuan Hari Ini
Katanya lagi, tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit ketika Allahyarhamah tiba di hospital berkenaan.
Berdasarkan penilaian saya, pesakit disyaki mengalami kecederaan otak trauma yang serius, kecederaan di bahagian belakang kepala, patah pada kedua-dua pergelangan kaki serta pergelangan tangan kiri, selain disyaki mengalami pendarahan dalaman.
“Disebabkan tekanan darah pesakit yang terlalu rendah, beliau disyaki mengalami kecederaan dalaman akibat trauma ‘impak tinggi’ pada badan yang menyebabkan pendarahan dalaman.
“Tiada kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit,” katanya ketika membaca kenyataan saksi di Mahkamah Koroner.
Pegawai penyelaras, Datuk Badiuszaman Ahmad kemudian meminta Dr Voo menandatangani kenyataan saksinya.
Menurut Dr Voo, selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan dalam otak, patah terbuka pada pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup pada lengan kiri dan kaki kanan, patah tulang lumber vertebrae 2, 3 dan 4, serta pembekuan darah pada tulang pelvis dan otot psoas kiri.
Dr Voo juga adalah pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang ditempatkan di HQE.
Berita lanjut mengenai inkues ini bakal menyusul nanti.
Sumber: Berita Harian