kapal global sumud flotilla dron serang

Sebuah kapal yang membawa peserta misi Global Sumud Flotilla dilaporkan diserang dron hingga terbakar di perairan Tunisia, yang kini dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Perkara tersebut disahkan menerusi akaun Instagram rasmi Global Sumud Flotilla (GSF) yang memaklumkan sebuah kapal bernama “Family Boat” yang membawa enam orang penumpang dan krew terselamat daripada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurut kenyataan tersebut, insiden itu menyebabkan dek utama dan dek penyimpanan mengalami kerosakan akibat kebakaran. Satu siasatan juga akan dijalankan berhubung kejadian itu dan maklumat mengenainya akan dibentangkan tidak lama lagi.

Tindakan menceroboh yang bertujuan untuk menakutkan dan menggagalkan misi ini tidak akan menghalang kami untuk meneruskannya. 

“Misi aman kami dalam memecahkan kepungan di Gaza dan bersolidariti dengan rakyatnya akan diteruskan dengan penuh keazaman,” tulis kenyataan itu.

Artikel berkaitan: “Apa? Omma nak ke Gaza naik bot?” – Farah Lee Berangkat ke Gaza, Titip Pesanan Menyentuh Hati Buat Anak

Artikel berkaitan: Zizi Kirana Bakal Ke Gaza, Momen Terakhir Di KLIA Buat Ramai Tersentuh

Peserta Sumud Nusantara muat naik rakaman detik kapal dibom

Salah seorang peserta misi Sumud Nusantara yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman turut memuat naik hantaran berhubung isu itu.

Dalam perkongsiannya di Instagram, dia memaklumkan kapal yang diserang dron itu dinaiki oleh aktivis Greta Thunberg, Thiago Avila dan Yasemin Acar ketika ia sedang berlabuh di Tunisia. Dipaparkan juga rakaman sebelum kejadian itu berlaku.

Kapal yang dinaiki Greta, Thiago dan Yasemin dibom oleh dron ketika sedang berlabuh di Tunisia. 

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Doakan,” tulisnya.

Misi GSF itu berlepas dari Pelabuhan Barcelona pada 1 September lalu dengan membawa sukarelawan antarabangsa termasuk dari Malaysia serta bekalan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza.

Sekretariat Sumud Nusantara dalam kenyataan memaklumkan delegasi Malaysia diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Salam Malaysia bersama NGO lain, dengan misi menuntut pembukaan laluan bantuan serta penghentian segera serangan ke atas Gaza.

Sumber: Astro Awani, Instagram, Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.