Fahami Perjuangan Global Sumud Flotilla, Berlayar Demi Harapan Rakyat Palestin

6 hours ago 6

‘From the river to the sea’ sering bergema sebagai laungan solidariti dunia buat Palestin. Laungan tersebut ibarat menggambarkan harapan akan sebuah tanah yang bebas daripada penjajahan dan sekatan.

Semangat yang sama jugalah yang dibawa oleh Global Sumud Flotilla (GSF), misi antarabangsa yang berlayar ke Gaza dengan bantuan kemanusiaan, sekaligus juga dengan harapan dan sokongan daripada seluruh dunia.

Tapi, siapakah mereka di sebalik perjalanan ini, dan apakah sebenarnya perjuangan mereka dalam misi bantuan kali ni?

Global Sumud Flotilla 

gsfff

Global Sumud Flotilla (GSF) ialah satu rombongan kapal yang bergerak secara aman, telah berlayar dari pelabuhan di seluruh Mediterranean. Walaupun kapalnya kebanyakan kecil, tapi misinya amat besar iaitu memecahkan sekatan haram Israel yang menjerut kehidupan rakyat Gaza.

GSF telah menghimpunkan gabungan peserta antarabangsa daripada 44 negara, merentasi enam benua termasuk Australia, Brazil, Afrika Selatan dan banyak negara Eropah serta negara kita juga. Mereka bukan wakil kerajaan atau parti politik, sebaliknya rakyat biasa yang enggan berdiam diri apabila melihat kezaliman.

Bagi memastikan misi ini lebih tersusun, satu jawatankuasa juga telah ditubuhkan. Antara yang terlibat termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, ahli sejarah Kleoniki Alexopoulou, aktivis hak asasi Yasemin Acar, ahli fizik Maria Elena Delia, aktivis Palestin Saif Abukeshek, bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau Ballano, serta pelakon daripada Ireland dan Sepanyol iaitu Liam Cunningham dan Eduard Fernandez.

Dari Malaysia, kita patut berbangga kerana Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, PU Rahmat, penyanyi Zizi Kirana serta pelakon Ardell Aryana adalah antara wakil Malaysia yang turut menyertai pelayaran ke Gaza ini.

Selain itu, Sekretariat Sumud Nusantara yang diterajui CGM bersama MAPIM, Cinta Salam Malaysia serta rakan-rakan NGO lain juga bergabung dalam flotilla ini. Secara tegasnya, semua peserta ini adalah sukarelawan bebas dan tidak mewakili mana-mana badan kerajaan.

Artikel Berkaitan: GSF Sahkan Salah Satu Kapal Yang Membawa Peserta Misi Sumud Flotilla Diserang Dron Di Tunisia – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Telefon ni dah berkhidmat dengan saya lebih 6 tahun” – PU Rahmat Dedah Sebab Buang Semua Gajet Ke Laut Jika Dikepung – Lobak Merah

Gabungan besar

kapal gsffff

Misi GSF kali ini tidak berdiri sendiri, sebaliknya dianjurkan bersama dengan empat gabungan besar yang sebelum ini aktif dalam misi darat dan laut ke Gaza.

  • Global Movement to Gaza (GMTG) – Gerakan rakyat antarabangsa yang menganjurkan pelbagai aksi solidariti untuk menyokong Gaza dan menamatkan sekatan
  • Freedom Flotilla Coalition (FFC) – Berpengalaman lebih 15 tahun dalam misi laut, termasuk flotilla terdahulu seperti kapal Madleen dan Handala.
  • Maghreb Sumud Flotilla – Dahulunya dikenali sebagai Sumud Convoy, inisiatif dari Afrika Utara yang fokus pada misi solidariti dan penghantaran bantuan.
  • Sumud Nusantara – Rombongan rakyat dari Malaysia dan 8 negara lain di rantau Asia Tenggara

Konvoi pertama kapal-kapal ini melibatkan puluhan kapal kecil dengan aktivis, doktor, pelaut dan bekalan kemanusiaan telah dijadualkan berlepas dari pelabuhan Sepanyol pada 31 Ogos, sebelum bergabung dengan gelombang kedua di Tunisia pada 4 September.

Gabungan kapal ini dijangka menjadi misi maritim terbesar dalam sejarah untuk memecahkan sekatan Israel, dengan lebih 50 buah kapal dari lebih 40 negara.

Kenapa laut?

kapal gsff

Ramai yang mempersoalkan, kenapa bantuan tidak dihantar melalui darat sahaja? Jawapan secara mudah ialah laluan darat hampir mustahil untuk melaksanakan misi ini.

Israel mengawal sepenuhnya pintu masuk darat dan bantuan yang dibenarkan masuk sering ditapis, dilambatkan, malah kadang-kadang dijadikan sebagai perangkap.

Laluan udara juga tidak boleh dijadikan sebagai pilihan. Sejak 2007, Israel sudah menguasai ruang udara Gaza sepenuhnya.

Malah, lapangan terbang satu-satunya di Gaza, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Yasser Arafat, telah dibom dan dimusnahkan pada tahun 2001, hanya setelah tiga tahun ia beroperasi. Maka, hanya tinggal laluan laut sahaja yang boleh digunakan.

Di sinilah datangnya peranan flotilla. Flotilla ialah kumpulan kapal atau bot yang digerakkan secara bersama untuk menghantar bekalan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain ke kawasan krisis bila laluan biasa tidak lagi boleh diakses.

Secara asasnya juga, flotilla kemanusiaan ini beroperasi di bawah naungan undang-undang maritim antarabangsa dan sering mendapat perlindungan moral daripada komuniti antarabangsa.

Dengan laluan laut ini, GSF juga mahu berdepan dengan sekatan Israel secara terus dengan membawa mesej yang jelas, iaitu sekatan terhadap Palestin mesti ditamatkan.

Misi ini tidak dinafikan melibatkan pelbagai risiko. Sebelum ini Israel sudah pernah menyerang flotilla kemanusiaan, termasuk insiden tragis Mavi Marmara pada 2010.

Tapi kali ini, dengan perhatian dunia, tekanan diplomatik dan persiapan undang-undang, GSF mengambil langkah rapi untuk meminimumkan ancaman. Peserta juga dikatakan telah menjalani latihan keselamatan serta latihan tanpa kekerasan sebelum berlayar.

Tujuan misi kali ini 

Bayangkan enam perkara paling asas untuk hidup macam makanan, ubat, tempat tinggal, air, udara dan kebebasan bergerak, sudah hampir dua tahun rakyat Palestin langsung tidak dapat merasai semua itu. Dunia seolah-olah hanya mampu melihat sahaja penyekatan Israel terhadap Palestin, terutamanya apabila mendapat sokongan daripada kuasa besar.

Pelbagai usaha solidariti juga telah dilaksanakan oleh seluruh dunia dengan cara turun demonstrasi, menyertai boikot, serta lantang bersuara di media sosial. Namun, semua itu masih tidak cukup untuk hentikan sekatan dan genosid yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Maka misi GSF kali ini adalah untuk cuba mencabar sekatan dengan cara menghantar sendiri bantuan terus ke Gaza.

Kalau dibandingkan dengan flotilla sebelum ini, kali ini lebih besar, lebih tersusun dan lebih ramai yang terlibat. Penglibatan lebih daripada 50 kapal dari lebih 40 negara, membuatkan misi GSF kali ini benar-benar berbeza.

Misi kali ini juga berlandaskan dengan asas undang-undang. Usaha mereka selari dengan keputusan International Court of Justice (ICJ) yang sudah pun mengarahkan Israel membuka ruang untuk bantuan kemanusiaan segera ke Gaza.

Namun sehingga kini, Israel masih gagal mematuhi perintah tersebut. Situasi yang semakin kritikal inilah yang menyebabkan orang ramai untuk bertindak secara langsung melalui flotilla ini.

Memang tidak dapat untuk dinafikan cubaan flotilla sebelum ini sering kali berdepan dengan kekerasan. Misalnya pada Jun lalu, kapal Madleen dipintas di perairan antarabangsa, kemudian kapal Handala pula ditahan pada Julai walaupun masih jauh dari Gaza. Hal ini menyebabkan bantuan makanan dan ubat-ubatan tidak pernah sampai ke tangan rakyat Gaza.

Baru-baru ini juga dikhabarkan bahawa salah satu kapal laut telah diserang dron sehingga menyebabkan kebakaran di Tunisia, dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Namun bagi peserta GSF, kegagalan sekali dua bukan alasan untuk berhenti berjuang. Malah, itu menjadi bukti kepada perjuangan mereka dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.

Mereka percaya, bagaimana apartheid di Afrika Selatan dulu boleh berakhir dengan solidariti seluruh dunia, begitu jugalah solidariti global dari rakyat biasa boleh menghentikan kezaliman Israel terhadap Palestin.

Sebab itu bagi mereka, berlayar kali ini bukan semata-mata untuk menghantar bekalan. Tapi juga dengan membawa harapan bahawa kekejaman Israel terhadap Palestin juga boleh berakhir.

Misi ini mungkin berlaku jauh dari mata kita, tetapi mesejnya tetap sama iaitu keadilan untuk Palestin adalah perjuangan semua. Ia juga menceritakan tentang lambang keberanian rakyat biasa yang menolak untuk tunduk pada ketidakadilan.

Walaupun perjalanan mereka penuh berisiko, semangat solidariti inilah yang menjadi harapan bahawa satu hari nanti, Palestin akan bebas daripada penindasan Israel.

Sumber: Global Sumud Flotilla, Al Jazeera, Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |