Lenggong Geopark dan Sarawak Delta Geopark telah berjaya meraih status “Green Card” (ACCEPTED) daripada Majlis UNESCO Global Geoparks. Keputusan ini dicapai pada Mesyuarat ke-10 Majlis tersebut yang berlangsung di Kütralkura UNESCO Global Geopark, Chile, pada 5 dan 6 September 2025 menurut pengumuman Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) baru-baru ini.
Pengiktirafan ini adalah satu langkah penting sebelum pengesahan rasmi sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) diberikan oleh Lembaga Eksekutif UNESCO.
Menurut pengumuman tersebut, Lenggong dan Sarawak Delta diiktiraf bersama tujuh geopark lain dari seluruh dunia dan dengan kejayaan ini, Malaysia kini akan mempunyai empat UGGp, menjadikan Lenggong dan Sarawak Delta sebagai UGGp yang ketiga dan keempat selepas Langkawi dan Kinabalu.
Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa, tetapi ia juga amat bermakna dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi serta pengurusan mampan kawasan geopark yang mempunyai nilai kepentingan antarabangsa.
Dalam masa yang sama, ia juga selari dengan Agenda Pembangunan Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG’s) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, kejayaan ini juga seiring dengan agenda Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada tiga nilai utama iaitu kemampanan melalui pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan melalui manfaat ekonomi setempat, dan hormat terhadap warisan budaya dan komuniti.
Artikel berkaitan : “Cerminkan kekuatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum” – Budaya Sarapan Malaysia Diiktiraf UNESCO
Artikel berkaitan : Ini 5 Tempat Di Asia Tenggara Yang Tersenarai Dalam UNESCO, Rugi Kalau Tak Pergi!
Dalam pada itu, NRES turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Negeri Sarawak, agensi teknikal, universiti tempatan, dan komuniti setempat atas kerjasama dan komitmen yang membawa kepada kejayaan ini.
Pihak kementerian juga berharap agar pengurusan geopark akan terus memperkukuh pembangunan mampan dan melaksanakan penambahbaikan dalam tempoh empat tahun akan datang, sebelum sesi penilaian semula dijalankan.
Pada masa ini, Malaysia juga mempunyai lapan Geopark Kebangsaan yang sedang diperkasakan sebagai calon berpotensi untuk diangkat ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam amat mengalu-alukan sokongan berterusan daripada semua pihak bagi menjayakan agenda geopark negara.
Sumber : NRES