Mulai Januari 2026, pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengalami masalah obesiti atau gagal mencapai Indeks Jisim Badan (BMI) yang ditetapkan tidak lagi akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.
Memetik laporan Astro Awani, langkah tegas itu diumumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tahap kesihatan, kecergasan dan keterampilan anggota agensi penguatkuasaan tersebut.
Menurut beliau, pekeliling rasmi akan dikeluarkan minggu hadapan, memberi tempoh selama enam bulan kepada semua pegawai untuk mengambil tindakan terhadap kesihatan masing-masing, kecuali yang menghadapi masalah kesihatan tertentu yang sah. Ketetapan baharu itu akan menetapkan BMI maksimum 27 sebagai had kelayakan untuk pertimbangan kenaikan pangkat.
Bayangkan kalau pegawai kerajaan ada masalah berat badan, sudah tentu tidak akan perform, tidak boleh membuat kerja dengan baik dan membawa pelbagai jenis penyakit”
Tambah Azam, SPRM turut akan melaksanakan program pemeriksaan kesihatan berkala serta mendorong gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja, selaras dengan imej agensi sebagai badan beruniform yang perlu kekal cergas dan berwibawa dalam menjalankan tugas penguatkuasaan.
Baca: SPRM Siasat Taikun Singapura, Ada Kaitan Dengan Skandal Rasuah Sabah?