Muhammad Shah Firdaus Sahrom mencipta detik gemilang awal pagi ini apabila berjaya menggondol pingat emas dalam acara keirin di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye!
Dalam perlumbaan yang penuh mendebarkan di Velodrom Konya, pelumba berusia 29 tahun ini menunjukkan kehebatannya dengan meloloskan diri daripada kepungan empat pelumba lain sebelum memecut ke garisan penamat.
Dengan kayuhan bertenaga, Shah Firdaus berjaya memintas pesaingnya hanya beberapa meter sebelum garisan sekali gus mencipta satu lagi sejarah dalam kariernya.
Kemenangan kali ini bukan calang-calang kerana ia adalah emas pertama beliau dalam kejohanan UCI. Malah, boleh dikatakan, ia adalah salah satu pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini!
Artikel berkaitan: “Saya ingat orang Malaysia baik-baik” – Pelumba Jepun Luah Terkilan, Shah Firdaus Serba Salah
Artikel berkaitan: Adik Shah Firdaus Hiba Lihat Abang Dirempuh, Mohon Netizen Jangan Kecam Pelumba Jepun

Lebih manis lagi, Shah Firdaus berjaya menewaskan nama-nama besar dalam dunia berbasikal trek, termasuk pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020, Sebastien Vigier dari Perancis (yang meraih perak kali ini), serta juara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025, Shinji Nakano dari Jepun (yang membawa pulang gangsa).
Untuk yang belum mengenali Shah Firdaus, dia bukanlah nama asing dalam sukan berbasikal trek Malaysia.
Pernah menjadi anak didik legenda Azizulhasni Awang, dia telah beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2020 dan sering berada dalam kelompok terbaik dunia.
Kini, dengan kejayaan ini, dia semakin hampir mencipta legasinya sendiri. Tahniah Shah Firdaus!
Sumber: Berita RTM