Mengenang ‘Bapa Pembangunan Modal Insan’, Ini 6 Legasi Tun Abdullah Yang Dinikmati Hingga Sekarang

20 hours ago 8

Seluruh negara hari ini berdukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, semalam.

Rata-rata pemimpin dan ahli politik menyifatkan pemergian Allahyarham yang mesra dipanggil Pak Lah sebagai satu kehilangan besar buat negara, begitu juga apa yang dirasai rakyat terutama ketika era kepimpinan beliau.

“Islam Hadhari” dan “Cemerlang Gemilang Terbilang”, dua slogan yang sangat sinonim dengan Allahyarham.

Dua slogan ikonik ini bukan hanya menjadi lambang pentadbirannya, malah turut mencerminkan aspirasi Allahyarham terhadap kemajuan negara dalam segenap bidang – pendidikan, teknologi, sains, pertanian dan pembangunan insan.

Artikel berkaitan: Orang Awam Boleh Beri Penghormatan Terakhir Kepada Tun Abdullah Di Masjid Negara, Ini Kod Pakaian Bagi Pelawat

Artikel berkaitan: 5 Tokoh Bekas Perdana Menteri Malaysia dan Konflik Semasa Pemerintahan Mereka

15bh5rr 1744672461

Tun Abdullah, 85, adalah figura penting yang banyak menyumbang ke arah pembangunan modal insan di negara ini, sehingga dinobat sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

Beliau menyedari bahawa strategi bagi pertumbuhan negara adalah berteraskan pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan belia.

Allahyarham memperjuangkan elemen itu yang turut ditekankan dalam pelbagai ucapan beliau sepanjang memegang jawatan utama berkenaan.

Berikut merupakan insiatif yang dilakukan sepanjang enam tahun Allahyarham berkhidmat sebagai Perdana Menteri (2003-2009).

1. Penubuhan Koridor Ekonomi Strategik

Beliau melancarkan lima koridor ekonomi utama untuk merangsang pembangunan serantau:

– Iskandar Malaysia
– Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER)
– Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER)
– Koridor Pembangunan Sabah
– Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)

Matlamat penubuhan koridor-koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara ini bertujuan untuk menarik pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia di seluruh tanah air.

Beliau juga memberi tumpuan kepada sektor pertanian untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar, serta memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

3265365

2. Pengiktirafan Industri Halal

Tahun lalu, Allahyarham diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024.

Tun dipilih untuk menerima Anugerah Khas tersebut atas peranannya mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam memposisi industri halal Malaysia pada tahap kualiti dan kepercayaan global.

Kini, industri halal merupakan antara sektor yang paling pesat berkembang dengan nilai pasaran globalnya dijangka mencecah AS$5 trilion menjelang tahun 2030.

3.⁠ ⁠Pemerkasaan Kewangan Islam

Kewangan Islam berkembang pesat di bawah pentadbiran beliau. Institusi kewangan dari Asia Barat seperti Al-Rajhi Bank, Kuwait Finance House, dan Qatar Islamic Bank mula beroperasi di Malaysia.

20220911 abdullah ahmad badawi on umrah in mekah in 2015 wider crop 2 Friends of BN Barisan Nasional facebook

4. Memerangi rasuah

Ketika era pentadbirannya juga, beliau melakukan penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memperkenalkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), sekali gus menunjukkan keseriusannya menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sektor awam dan swasta.

5. Merevolusikan Pertanian: ‘Pertanian Adalah Perniagaan’

Satu lagi gagasan besar Pak Lah ialah mengubah persepsi dan pendekatan terhadap sektor pertanian melalui slogan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’. Beliau melihat potensi besar pertanian sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu jika diuruskan dengan cara moden dan komersial.

Menerusi slogan ‘visi pemodenan’, beliau menggalakkan petani dan pengusaha tani untuk beralih daripada pertanian sara diri atau skala kecil kepada pertanian komersial yang berskala besar, berteknologi tinggi, dan berorientasikan pasaran.

f pert

6. Program J-Qaf

Program J-Qaf (Jawi, Al-Quran, Arab, Fardu Ain) yang ada dalam sistem pembelajaran di sekolah pada hari ini merupakan cetusan idea yang diperkenalkan Allahyarham pada tahun 2004.

Program ini merupakan satu pendekatan pembelajaran agama yang dilaksanakan bagi memastikan supaya pelajar sekolah rendah celik al-Quran sebelum memasuki peringkat menengah.

Bagi generasi muda, mengenali legasi Pak Lah adalah penting untuk menghargai usaha-usaha yang telah diletakkan bagi membina negara.

Pendekatan beliau yang tenang, penekanannya kepada pembangunan insan, dan usahanya untuk memajukan sektor-sektor penting adalah nilai dan dasar yang terus relevan dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih inklusif.

Semoga rohnya Allahyarham ditempatkan di sisi hamba-Nya yang dikasihi. Al-Fatihah.

Sumber: Sinar HarianAstro AwaniBerita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |