“Kalau goyang kaki, memang tak ke mana” – Walau Kudung Sebelah Kaki, Jejaka Ini Jadi Inspirasi Sebab Tak Pernah Mengalah Cari Rezeki

11 hours ago 8

Di sebalik wajah tenang dan motosikal roda tiganya, Muhammad Irwani Mohd Amirsirifuddin, atau lebih dikenali sebagai Wan Sekerat, membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan alasan untuk hidup bergantung pada simpati orang lain.

Dilahirkan dengan kaki kanan yang tidak berfungsi dan terpaksa dipotong selepas satu insiden pada tahun 2015, jejaka berusia 33 tahun dari Kampung Pulau Padang, Bota Kiri ini tetap bangkit untuk berdikari.

Menurut laporan Sinar Harian, setiap hari Irwani akan keluar berniaga buah-buahan seperti manggis dan rambutan menggunakan motosikal roda tiganya.

“Selagi mampu bergerak, kudrat ini akan saya kerah untuk cari rezeki buat diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Idea untuk menjual buah tercetus semasa beliau masih menjual ikan sekitar tahun 2018.

Ramai pelanggan mula bertanya sama ada beliau turut menjual buah, lalu pada tahun 2022, Irwani mula fokus menjual buah-buahan bermusim sepenuh masa.

Artikel berkaitan: Hilang Sepasang Tangan Akibat Kemalangan, Pelukis Kudung ‘Terima’ Tangan Baru 

Artikel berkaitan: “Boleh ke saya nak saman?” – Rosyam Nor Berang Cucu Kini ‘Insecure’ Jari Cacat Sebab Doktor Cuai

kudungMuhammad Irwani Mohd Amirsirifuddin atau lebih dikenali sebagai Wan Sekerat. Kredit gambar: Sinar Harian

Kini, beliau mampu menjual antara 40 hingga 50 kilogram buah sehari dengan pendapatan mencecah RM1,500 sebulan.

“Biasanya saya tunggu di kedai makan waktu tengah hari. Kalau ada ramai pelanggan beli, saya tunggu lebih lama. Sekarang musim manggis dan rambutan, jadi sambutan sangat baik,” katanya.

Namun, Irwani bukan sekadar peniaga kecil-kecilan. Beliau juga merupakan pemain kebangsaan skuad bola sepak orang kudung Malaysia di bawah MAFA (Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia).

Berkecimpung dalam bidang sukan sejak 2018, beliau kini sedang giat menjalani latihan bersama rakan sepasukan sebagai persediaan menyertai Kelayakan Piala Dunia di Jakarta pada November ini.

“Golongan kurang upaya bukan sahaja mampu berdikari, tapi juga boleh menyumbang kepada negara. Yang penting, jangan jadikan kekurangan kita sebagai penghalang untuk berjaya,” katanya lagi.

Mengimbas kembali detik hitam dalam hidupnya, Irwani berkata insiden yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong berlaku ketika beliau membonceng motosikal selepas pulang dari aktiviti berkayak di Pasir Salak.

Tanpa sedar, kaki kanannya yang lemah termasuk ke dalam rim tayar belakang. Akibat kecederaan yang teruk, beliau sendiri meminta doktor memotong kakinya di paras lutut kerana tidak dapat diselamatkan.

Namun, kejadian itu menjadi titik tolak yang membakar semangatnya untuk terus berdikari. Walaupun menerima bantuan JKM sebanyak RM450 sebulan, beliau enggan bergantung semata-mata kepada bantuan kerajaan.

“Kalau duduk goyang kaki, memang tak ke mana. Saya lebih puas hati bila dapat usaha dengan kudrat sendiri,” katanya.

Sebelum berniaga buah, Irwani pernah melakukan pelbagai kerja kampung demi sesuap nasi. Kini, selain mampu menjana pendapatan sendiri, beliau juga membuktikan bahawa kekurangan fizikal tidak membataskan seseorang untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |