Seorang juruterbang muda dari Amerika Syarikat berusia 19 tahun, Ethan Guo, telah ditahan di Pulau King George, Antartika selepas didakwa mendarat tanpa kebenaran yang sah, sekali gus mengganggu misinya untuk terbang solo ke tujuh benua dunia.
Menurut laporan The Indian Express, pihak berkuasa penerbangan Chile mendakwa Guo telah mengemukakan pelan penerbangan palsu dan menukar laluannya ketika berada di udara. Tindakan itu menganggu protokol kecemasan, dan Guo kemudiannya ditahan di Lapangan Terbang Teniente R. Marsh, sebuah lapangan terbang yang digunakan oleh stesen penyelidikan di pulau berkenaan.
Pada asalnya, Guo dikatakan hanya merancang untuk terbang di ruang udara bandar Punta Arenas di selatan Chile, namun dia meneruskan perjalanan hingga ke King George Island, sebuah wilayah yang didakwa milik Chile dan terletak di pesisir Atlantik Antartika.
Pendakwa wilayah Chile, Cristian Cristoso Rifo, memberitahu sumber bahawa Guo telah didakwa mengikut dua peruntukan dalam kod aeronautik Chile, termasuk satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara pendek. Beliau juga mungkin melanggar peraturan dalam Perjanjian Antartika, yang menetapkan kawalan ke atas sebarang aktiviti di benua tersebut.
Guo, yang popular di media sosial dengan lebih sejuta pengikut, telah menaiki pesawat kecil jenis Cessna 182 dalam misi solo menjelajah tujuh benua sambil mengumpul dana sebanyak AS$1 juta bagi penyelidikan kanser di St. Jude Children’s Research Hospital, Amerika Syarikat.
Setakat ini, beliau telah berjaya menamatkan penerbangan di enam benua dalam tempoh lebih 140 hari sebelum perjalanannya tergendala di Antartika.
Baca: Laluan Udara Iran Dibuka Semula Untuk Penerbangan Antarabangsa