Liverpool akan membayar penuh baki kontrak Diogo Jota, kepada keluarga mendiang sebagai penghormatan terakhir selepas tragedi kemalangan yang meragut nyawa pemain itu dan adiknya, André Silva.
Walaupun kehilangan Jota berlaku di luar padang, kelab berpangkalan di Anfield itu mengambil keputusan luar biasa dengan menghormati keseluruhan tempoh kontraknya yang masih berbaki dua tahun. Nilai kontrak tersebut dianggarkan berjumlah kira-kira USD995,000 setahun (bersamaan lebih RM4.7 juta), yang akan diserahkan sepenuhnya kepada keluarganya.
Langkah ini mendapat pujian ramai, termasuk peminat dan pemerhati bola sepak antarabangsa, yang melihatnya sebagai satu tindakan penuh empati dan penghormatan terhadap pemain yang pernah mencurah bakti kepada kelab.
Sejak tragedi menimpa Jota, Liverpool turut menunjukkan pelbagai bentuk sokongan termasuk mengatur penerbangan khas ke Portugal untuk membolehkan pemain dan pegawai menghadiri majlis pengebumian di Gondomar. Kelab itu juga tidak akan menawarkan jersi nombor 20 milik Jota kepada pemain lain.
Tindakan Liverpool ini bukan sahaja mencerminkan hubungan erat antara kelab dan pemain, malah mengangkat nilai kemanusiaan dalam dunia bola sepak yang sering dilihat keras dan kompetitif.
Sumber: Bein Sports
Baca: Pemain Muda Argentina Meninggal Dunia Ketika Pembedahan Lutut