Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 edisi keempat bakal diadakan di Terengganu Darul Iman bermula 10 Julai hingga 12 Julai 2025 (Khamis hingga Sabtu) di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu dan sekitarnya.
Menurut kenyataan media Kementerian Kerja Raya, PMR kali ini dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dengan dibantu oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku Sekretariat Induk.
Untuk pengetahuan, tema “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera” telah diangkat bagi PMR kali ini dan ianya selaras dengan Gagasan Malaysia MADANI dan aspirasi Kerajaan bagi memastikan pembangunan seimbang dari segi fizikal dan kerohanian.
Dalam pada itu, PMR 2025 Terengganu ini bakal menampilkan pengisian program yang lebih bersasar serta dekat dengan keperluan rakyat setempat merangkumi pelbagai aktiviti pameran dan reruai perkhidmatan Kerajaan di peringkat Persekutuan dan juga Negeri.
Seperti edisi sebelum ini di Perak, PMR Edisi Ke-4 ini akan dimeriahkan dengan inisiatif kesejahteraan komuniti, jualan MADANI, kaunter diskaun saman trafik PDRM, pemeriksaan kesihatan percuma, karnival tawaran peluang pekerjaan, tawaran gunting rambut, penukaran minyak motosikal percuma serta khidmat pertukaran topi keledar oleh JPJ.
Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti yang bakal mencuri tumpuan pengunjung antaranya :
- Acara Persembahan Nasyid “Tautan Hati Ganu Bersama Rabbani”.
- Majlis Terengganu Berselawat, Majlis Tahlil dan juga Kenduri Kesyukuran.
- Karnival Candat Sotong dan pengisiannya bersama MOTAC.
- Pendaftaran Kontraktor di bawah CIDB.
- Aktiviti Persembahan kanak-kanak.
- Pocket Talks.
- TVET & Peluang Melanjutkan Pengajian (terbuka kepada lepasan sekolah & belia).
- Pameran Teknologi & Inovasi.
- Pengalaman Realiti Maya (Virtual Reality) – mengendali jentera berat & pembinaan.
- Cabutan bertuah dan banyak lagi.
Difahamkan, Majlis Perasmian Penutup PMR 2025 pada 12 Julai 2025 bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan akan turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi program ini selain mengambil manfaat sepenuhnya dari acara dan aktiviti-aktiviti menarik yang telah disusun buat julung-julung kalinya diadakan di Pasar Kedai Payang, Kuata Terengganu.
Untuk makluman, pengangkutan bas (feeder bus) juga akan disediakan buat pengunjung dari stesen bas ke lokasi penganjuran dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu juga bermurah hati untuk memberikan diskaun bagi bayaran letak kereta di sekitar lokasi tersebut.
PMR bermula seawal 9 pagi sehingga 10 malam pada Khamis dan Jumaat, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada hari Sabtu!