Sebelum ini, Lobak Merah ada melaporkan mengenai satu kes pembunuhan tragis melibatkan seorang pelajar wanita berusia 20 tahun di sebuah universiti swasta di Cyberjaya.
Menerusi perkembangan terbaharu, polis memaklumkan kemungkinan suspek kes pembunuhan ini adalah individu yang dikenali mangsa.
Hal ini berikutan dalam siasatan awal yang dijalankan di lokasi, tidak terdapat kesan pecah masuk ke atas kediaman mangsa.
“Namun, polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti dan mengesan suspek.
“Selain itu, polis juga ada mengesan transaksi pengeluaran wang menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa oleh individu lain selepas dia dibunuh,” katanya.
Artikel berkaitan: Suspek Kes B*nuh Penuntut Uni Di Cyberjaya Guna Kad ATM Mangsa Untuk Keluarkan Duit
Artikel berkaitan: Pelajar Wanita Di Cyberjaya Disyaki Dib*nuh, Tiada Unsur R*gol – Polis
Terdahulu, media melaporkan mangsa yang berasal dari Sarawak itu ditemukan mati di asramanya di Mutiara Ville, Sepang, pada 10.28 pagi kelmarin.
Punca kematian mangsa yang juga seorang penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi disahkan akibat hentakan objek tumpul di kepala.
Sementara itu, polis juga sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pelbagai sumber dan beberapa lokasi berhampiran dalam usaha mengesan suspek.
Kediaman mangsa merupakan hostel yang digunakan oleh pelajar universiti dan disediakan oleh pihak institusi pengajian tinggi terbabit untuk kemudahan penginapan pelajar.
Difahamkan mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu dan keputusan itu diambil kerana beliau dijadualkan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Sumber: Harian Metro, Malaysia Gazette