Sejak sekatan ke atas Gaza bermula bertahun-tahun lalu, usaha antarabangsa untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin bukanlah perkara yang baru.
Namun, tahun 2025 menjadi saksi kepada kebangkitan semula semangat solidariti itu melalui tiga gelombang besar flotila yang membawa misi berbeza, tetapi dengan matlamat yang sama iaitu menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza.
Seperti yang kita tahu, minggu lepas telah berlakunya penahanan tidak sah oleh Israel terhadap beberapa flotila yang dalam perjalanan ke Gaza. Kapal-kapal ini membawa ubat-ubatan dan bekalan makanan untuk penduduk di sana. Misi kemanusiaan tersebut disertai oleh 497 peserta dari 46 negara, dengan 44 buah kapal berlayar di perairan antarabangsa.
Kini, gelombang ketiga flotila sedang menuju ke Gaza selepas Israel menahan kapal-kapal dari misi sebelumnya buat kali kedua. Namun, mungkin ada yang masih keliru tentang perbezaan antara setiap gelombang dan bilakah ketiga-tiga misi ini dilaksanakan.
Jadi, apa sebenarnya yang membezakan setiap gelombang flotila ini? Jom, min jelaskan satu-satu dekat korang.
Gelombang pertama
Gelombang pertama dimulakan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) iaitu sebuah gabungan aktivis antarabangsa yang dah lama terkenal dengan usaha mencabar sekatan maritim Israel. Mereka ni sebenarnya bukanlah baru ditubuhkan. Sejak tahun 2010 lagi, FFC dah gerakkan misi kapal bantuan ke Gaza, termasuk yang pernah diserang oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
Pada tahun 2025, FFC cuba untuk berlayar sekali lagi dengan kapal-kapal kecil yang berangkat dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol dengan membawa aktivis, doktor, wartawan dan sukarelawan.
Tujuan utama FFC dalam gelombang pertama ini ialah untuk ‘break the silence‘. Mereka nak mendapatkan semula perhatian media antarabangsa terhadap Gaza, sambil membuktikan bahawa rakyat daripada pelbagai negara ini tidak akan membiarkan kekerasan Israel terhadap rakyat Palestin.
Gelombang kedua
Beberapa minggu/ bulan kemudian, muncullah gelombang kedua yang dinamakan sebagai Global Sumud Flotilla (GSF). GSF ini sebenarnya hasil gabungan lebih besar daripada pelbagai blok flotila serantau yang melibatkan Global Movement to Gaza (GMTG), Freedom Flotilla Coalition (FFC), Maghreb Sumud Flotilla dan Sumud Nusantara.
Perkataan ‘Sumud’ sendiri bermaksud ‘keteguhan’ dalam bahasa Arab yang secara langsung membawa kepada satu simbol ketabahan rakyat Palestin yang terus bertahan di bawah penindasan Israel.
Gelombang kedua ini juga dilancarkan dari Barcelona dan kemudian sambung dari Tunisia dengan membawa kapal tambahan, bekalan perubatan serta lebih ramai sukarelawan dan aktivis antarabangsa. Objektifnya jelas lebih besar daripada FFC sebab gelombang kedua melibatkan usaha kolektif antarabangsa yang melibatkan 44 buah kapal demi menghantar bantuan kepada Gaza.
Sepanjang perjalanan, GSF berdepan pelbagai cabaran termasuklah serangan dron, gangguan komunikasi dan usaha sabotaj daripada pihak tentera Israel.
Gelombang ketiga
Menjelang Oktober 2025, gelombang ketiga pula muncul dan kali ini pula merupakan hasil kerjasama antara Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG). Gabungan ni lebih tersusun dan fokus kepada aspek kemanusiaan serta dokumentasi.
Selain membawa bantuan, kapal-kapal dalam gelombang ketiga turut membawa wartawan, pakar perubatan dan aktivis dari pelbagai negara termasuklah Malaysia. Antara kapal utama dalam gelombang ketiga ini ialah kapal Conscience, yang membawa wakil dari Malaysia termasuk Profesor Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Mereka yang menyertai misi ini bukanlah calang-calang orang, kerana hampir kesemuanya terdiri daripada pakar perubatan berpengalaman.
Kesemua sembilan wakil Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan di bawah FFC dan TMTG juga telah bersetuju menandatangani surat deportasi sekiranya mereka ditahan oleh tentera Israel sebagai langkah yang diambil bagi memastikan keselamatan serta memudahkan urusan pembebasan negara. Timbalan ketua delegasi Malaysia, Prof. Dr. Afandi Salleh, menjelaskan bahawa salinan pasport mereka turut dihantar kepada Kedutaan Malaysia di Mesir dan Turki bagi memudahkan proses pulang ke tanah air, sama seperti yang dilalui oleh peserta misi GSF sebelum ini.
Dr. Afandi yang kini berada di atas kapal Conscience turut memaklumkan bahawa keadaan di laut agak mencabar dengan kehadiran beberapa dron yang dipercayai milik Israel, namun semangat para peserta kekal tinggi. Beliau juga memaklumkan bahawa lapan kapal di bawah TMTG telah bergabung dengan Conscience di perairan antarabangsa, sementara kapal pemerhati Shireen Abu Akleh membawa sekumpulan peguam bagi memantau keselamatan misi tersebut.
Jadi, misi kali ini bukan sekadar untuk menghantar bantuan secara fizikal, tetapi juga bertujuan untuk mendokumentasikan pelanggaran hak asasi serta meningkatkan kesedaran global terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.
Secara keseluruhan, tiga gelombang flotila ini mencerminkan keberanian dan tekad masyarakat antarabangsa dalam terus menentang sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza. Walaupun setiap misi mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri, semangat yang dibawa tetap sama iaitu menghentikan penindasan Israel terhadap Gaza.