KPWKM Perkukuh 4 Teras Utama, Dari Guaman Ibu Tunggal Hingga ‘Sahabat PSSS’

10 hours ago 7

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkukuh komitmennya untuk tahun 2026 dengan menumpukan kepada empat teras utama yang melibatkan semua kumpulan sasar, seperti yang digariskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2026.

Tumpuan ini adalah langkah strategik untuk membina masyarakat yang sejahtera, harmoni, dan berdaya tahan.

559888021 1133423275638334 5008583820031378275 n

Teras 1: Pemerkasaan Sosioekonomi Wanita dan Ibu Tunggal

KPWKM sentiasa menyokong pihak majikan, sama ada agensi kerajaan atau swasta, untuk menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi memberi sokongan kepada ibu bapa, khususnya wanita, agar dapat bekerja dengan lebih komited dan meningkatkan produktiviti.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem pekerjaan kondusif di bawah Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030:

  • Inisiatif yang digariskan termasuk pemberian insentif kepada majikan yang menyediakan persekitaran kerja mesra keluarga.
  • Turut digariskan adalah insentif pelepasan cukai kepada syarikat yang menyediakan kemudahan penjagaan anak, melaksanakan aturan kerja fleksibel, dan kemudahan sokongan lain.
  • PTPW juga meneroka insentif pelepasan cukai individu bagi yuran penghantaran anak berumur 6 tahun dan ke bawah ke TASKA atau TADIKA yang berdaftar.

Bagi golongan Ibu Tunggal pula, KPWKM melaksanakan Program Kasih Ibu Tunggal (KASIHNITA) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Program ini dirangka khusus untuk membantu mereka memupuk minda positif dan membangunkan keupayaan berdikari.

566006409 18528495160061872 2817771397823021606 n

  • Bagi tahun 2025, modul kemahiran perundangan di bawah KASIHNITA telah ditambah baik dengan penyediaan khidmat dan bantuan yuran guaman untuk mewakili ibu tunggal yang kurang berkemampuan bagi kes sivil dan syariah.
  • Menerusi cadangan Belanjawan 2026, Program KASIHNITA dirancang untuk diteruskan dan disasarkan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 5,000 orang ibu tunggal yang layak di seluruh Malaysia melalui khidmat bantuan guaman.

Teras 2: Kesejahteraan Mental Melalui Jaringan Sokongan Komuniti

Menyedari isu psikososial dan tekanan emosi dalam kalangan masyarakat yang semakin membimbangkan, KPWKM melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh sokongan kesihatan mental dan kesejahteraan keluarga melalui penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di seluruh negara.

  • PSSS menyediakan perkhidmatan psikososial melalui sesi bimbingan dan kaunseling, intervensi, dan rujukan bantuan kebajikan.
  • Usaha telah dilaksanakan untuk memperbanyakkan PSSS melalui Program Jelajah KASIH PSSS bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta capaian kepada perkhidmatan ini.
  • Bilangan klien yang dikendalikan PSSS telah meningkat daripada 33,000 pada 2024 kepada melebihi 56,000 dari Januari hingga September 2025 sahaja.
  • Peranan PSSS diperluaskan melalui Program Sahabat PSSS dengan penglibatan komuniti setempat. Sahabat PSSS dilatih sebagai rakan sokongan awal (first responder) di peringkat komuniti bagi mengenal pasti isu-isu psikososial yang dihadapi masyarakat.

Teras 3: Inklusiviti OKU dan Penambahbaikan Program PDK

Kerajaan melalui KPWKM melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ke arah meningkatkan inklusiviti dan kesejahteraan hidup mereka.

Antara program yang dilaksanakan:

  • Program Latihan di Bengkel Terlindung (Bengkel Daya Klang dan Sungai Petani) yang menyediakan latihan pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti jahitan dan pembuatan roti.
  • Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) yang memberi tumpuan kepada latihan kemahiran teknikal.
  • Pengoperasian 580 Pusat bagi Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) oleh Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) yang berfungsi sebagai pusat intervensi dan latihan.

502513787 1016736640609771 5617774991522066209 n

Selain itu, dalam Belanjawan 2026, pelaksanaan inisiatif Pusat Autisme dicadang untuk diperluaskan :

  • Pusat Autisme yang akan beroperasi di PLPP Bangi, Selangor pada 2025.
  • Dicadang untuk diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, dan Sarawak bagi memberi manfaat kepada lebih 13,000 individu autisme dan keluarga mereka, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM20 juta.

Berhubung isu penyelarasan gaji Petugas dan Penyelia di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), KPWKM telah membuat tindakan susulan bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan.

Artikel berkaitan : Isu Sosial Remaja Perlu Tindakan Bersama, Bukan Tuding Jari – KPWKM

Artikel berkaitan : Program KasihnlTa Memperkasa Ibu Tunggal Melalui Inisiatif Perundangan, Kewangan & Pembangunan Potensi Diri

Kadar saguhati telah dinaikkan kepada RM1,500 untuk penyelia dan RM1,200 untuk petugas sejak Januari 2021, dengan peruntukan melebihi RM140 juta untuk program PDK pada tahun 2025. KPWKM turut memaklumkan bahawa Pertubuhan PDK (yang bergerak sebagai NGO) boleh membayar saguhati dengan kadar yang lebih baik dan tidak semestinya terikat kepada kadar bantuan kewangan Kerajaan.

Teras 4: Reformasi Institusi Keluarga dan Industri Penjagaan

KPWKM berusaha menangani konflik rumah tangga dan kadar penceraian yang meningkat melalui Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara (ANKKN), yang memberi tumpuan kepada pembangunan nilai sahsiah keluarga dan pengukuhan hubungan.

Melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), pelbagai khidmat sokongan keluarga dilaksanakan:

  • Kursus pra perkahwinan SMARTSTART 2.0.
  • Program SMARTSTART 2nd Honeymoon untuk memperkukuhkan ikatan perkahwinan dan membantu mengurangkan peningkatan kadar penceraian.
  • Modul Kebapaan khusus bagi bapa muda, dan Program KASIH Keibubapaan Digital bagi memperkasa ibu bapa dengan ilmu menguruskan cabaran anak-anak generasi digital.

Bagi warga emas, KPWKM melaksanakan Program Pemerkasaan Warga Emas atau PAWE@3A (Anywhere, Anytime, Any place), yang membolehkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) melaksanakan program secara lebih fleksibel tanpa terikat kepada premis dan waktu tertentu.

KPWKM turut menjelaskan bahawa PAWE dan Pusat Jagaan adalah berbeza, di mana Pusat Jagaan (day care atau respite care) tertakluk kepada Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506].

Dalam industri penjagaan, KPWKM sedang membangunkan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030 yang meliputi penjagaan warga emas, kanak-kanak, dan OKU.

Kolaborasi strategik akan dijalinkan secara inklusif dengan semua pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan dan penggiat industri, untuk membangunkan lebih banyak modul dan penawaran latihan.

KPWKM komited untuk memperkukuhkan usaha ini melalui kerjasama rentas kementerian bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

Sumber : KPWKM

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |