Dalam keadaan ekonomi yang penuh mencabar ni, ramai mula mencari cara untuk mengawal gaya hidup tanpa menjejaskan kualiti hidup mereka dan dari situ juga muncul satu trend baru yang menarik perhatian netizen iaitu ‘frugal living’.
Fenomena ini mula mendapat perhatian selepas sepasang doktor di TikTok berkongsi cara mereka mengamalkan gaya hidup berjimat cermat demi mengurus kewangan dengan lebih baik.
Trend ini telah membuka mata ramai orang mengenai pengurusan kewangan yang lebih baik, tapi ada juga yang salah faham dengan pilihan gaya hidup ini dengan beranggapan bahawa gaya hidup ini macam kedekut pula.
So, apa sebenarnya ‘frugal living’ ni dan adakah kita juga patut amalkan?
Artikel Berkaitan: Penerima Bantuan Di Indonesia Tarik Diri Lepas Kena Tampal Pelekat ‘Keluarga Miskin’ Pada Rumah – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Siap perli aku kedekut” – Hidup Terabai Sejak Jadi Anak Yatim, Bila Dah Kerja Pakcik Datang Tuntut ‘Duit Poket’ – Lobak Merah
Frugal living

Secara ringkasnya, ‘frugal’ membawa maksud kepada berjimat-cermat. Jadi ‘frugal living’ ni ialah gaya hidup yang menekankan pengurusan kewangan secara bijak dan berhemah. Tujuannya adalah untuk memastikan perbelanjaan kita adalah untuk perkara yang betul-betul bermanfaat sambil elak pembaziran.
Tapi korang kena faham juga bahawa, ‘frugal living’ bukan bermaksudnya hidup susah atau kedekut. Ia lebih kepada belajar membezakan antara keperluan dan kehendak dalam kehidupan seharian.
Walaupun gaya hidup ni nampak macam tengah trend, tapi sebenarnya prinsip gaya hidup ini sudah wujud lama sejak The Great Depression di Amerika Syarikat iaitu sekitar tahun 1929 hingga tahun 1939. Waktu tu, semua orang terpaksa hidup berjimat-cermat demi nak menghargai setiap sen yang ada.
Begitu juga dengan kita, kesedaran dalam pentingnya pengurusan kewangan ini muncul semula ekoran cabaran ekonomi yang semakin mendesak dengan gaya hidup masa sekarang.
Selain pengurusan kewangan, ‘frugal living’ ni juga dikaitkan dengan gaya hidup yang seimbang, contohnya macam kurangkan pembaziran makanan dan barangan. Bila mana kita berjimat-cermat, tidaklah kita kerap membeli sesuatu berulang kali hanya kerana ‘mampu’ untuk membelinya. Kesudahannya nanti, yang tidak terpakai akan dibiarkan begitu dan membazir.
Menurut The Edge Malaysia, golongan generasi sekarang atau yang lebih dikenali sebagai Gen Z lebih ketinggalan berbanding generasi lain dari segi keyakinan dalam persediaan kewangan, iaitu hanya sebanayk 52% Gen Z yang mengatakan mereka selamat dari segi kewangan.
Pada tahun 2024, kajian daripada syarikat insurans tempatan, Etiqa juga mendapati bahawa ramai Gen Z mendapati sukar untuk membina simpanan dan wang simpanan kecemasan yang mencukupi untuk masa depan.
Ramai berpendapat bahawa pendapatan bulanan mereka tidak sepadan dengan usaha dan tanggungjawab kerja yang dipukul, menjadikan mereka sukar untuk membuat pelan perancangan kewangan yang rapi.
Disebabkan kebimbangan terhadap kewangan inilah menjadikan ramai generasi sekarang memilih untuk mengamalkan gaya hidup yang berjimat-cermat atau ‘frugal living’ ni demi masa depan kewangan mereka terjamin.
Macam mana nak mula?

Ada beberapa prinsip utama yang boleh bantu korang dalam mengurus kewangan dengan lebih bijak dan seimbang.
Prinsip yang paling utama sekali adalah korang perlu rancang dengan beli hanya apa yang diperlukan sahaja. Sebelum membuat pembelian, pastikan yang pembelian tersebut memang akan digunakan dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar melayankan kehendak semata.
Bila korang dah amalkan gaya hidup ni, maka perlulah sentiasa berhati-hati dengan pembaziran dari pelbagai aspek iaitu wang, tenaga atau masa. Maksudnya, jangan habiskan duit untuk barang mewah atau sesuatu yang mungkin tak berbaloi dalam jangka masa panjang. Contohnya, fikir dulu ‘betul ke barang ni berbaloi dengan harga dia?’.
‘Frugal living’ juga menekankan kepandaian mencari pilihan yang lebih berbaloi tanpa menjejaskan kualiti hidup sebagai alternatif berbelanja dengan harga yang murah. Contohnya, manfaatkan diskaun, promosi atau membandingkan harga sebelum membeli sesuatu barang.
Menurut perkongsian Big House In The Woods, kita juga boleh kurangkan makan di luar dan biasakan diri dengan selalu masak di rumah. Amalan ni bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan harian, tapi juga lebih sihat dan segar berbanding membeli makanan di luar yang biasanya menelan kos tinggi serta tidak berkhasiat.
Selain itu, menanam sayur-sayuran atau buah-buahan sendiri juga adalah langkah praktikal dalam mengurangkan perbelanjaan dapur. Walaupun bermula dengan tanaman kecil macam cili, tomato, daun kari dan sebagainya, hasilnya kita tidak lagi perlu untuk membeli semua ni dalam jangka masa panjang.
Isu tempat tinggal dan pengangkutan harian korang juga sebenarnya boleh jadi peluang untuk berjimat-cermat. Sebenarnya, tak ada salah pun kalau pilih untuk menyewa bilik kecil atau masih tinggal dengan ibu bapa sementara nak stabilkan kewangan.
Lagi-lagi sekarang dah ada kemudahan seperti My50 Pass, jadi perbelanjaan harian untuk pengangkutan pun boleh dijimatkan. Tak perlu lagi hadap trafik, tol dan isi minyak setiap minggu.
Tapi yang paling penting sekali, korang wajib ‘audit’ semula perbelanjaan korang setiap bulan! Ramai orang suka menggunakan konsep automatikkan bayaran bil atau langganan tanpa tengok balik. Tapi sebenarnya, benda ni boleh buat korang terlebih bayar tanpa sedar terhadap servis yang dah lama tak digunakan.
Jadi, kalau dah lebih enam bulan tak guna, eloklah batalkan je. Bagi bil yang tak boleh dielak, boleh cuba tengok dan banding pelan yang lebih murah atau buang ciri tambahan yang tak penting demi nak kurangkan kos.
Apa beza ‘frugal living’ dengan kedekut?

Tapi dalam masa yang sama, ‘frugal living’ ni bukanlah bermaksud korang perlu hidup susah atau ‘turunkan standard’ korang semata-mata nak jimat duit. Ramai ingat yang ‘frugal living’ ni macam kedekut, padahal sebenarnya dua-dua tu sangat berbeza.
‘Frugal living’ bukanlah tahap berkira sampai nak makan pun fikir dua tiga kali, tapi lebih kepada cara untuk urus kewangan dengan lebih bertanggungjawab, di samping bijak dalam mengenalpasti mana satu keperluan sebenar dan kehendak yang sementara.
Contohnya dengan beli barang berkualiti tinggi walaupun harganya sedikit mahal sebab kita tahu ianya boleh tahan lama. Berbeza dengan kedekut, orang yang kedekut biasanya langsung tak nak berbelanja sebab sayang duit walaupun untuk keperluan yang penting.
Tapi sebenarnya apa yang dianggap penting pun berbeza bagi setiap individu. Lain orang, lain keutamaannya. Ada yang rasa beli vakum mahal tu satu keperluan sebab ia memudahkan urusan harian dan tahan lama. Tapi bagi orang lain, penyapu biasa pun dah memadai sebab tak nampak keperluan untuk berbelanja lebih.
Jadi, bila dah biasa dengan gaya hidup yang serba berjimat-cermat ni, memang tidak dinafikan yang korang juga boleh kurangkan hutang, menjadikan korang boleh rasa lebih selamat dalam menyimpan duit untuk masa depan nanti.
Hakikatnya, ‘frugal living’ ni bukan tentang siapa yang paling banyak berjimat, tapi tentang bagaimana seseorang menilai sesuatu perkara berdasarkan keperluan dan nilai barangan tersebut dalam hidupnya sendiri.
Sumber: The Edge Malaysia

6 hours ago
6






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















