4kapal

Penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan badan sebuah kapal lama di Pulau Melaka mencetuskan penemuan arkeologi luar biasa yang berpotensi mengubah naratif sejarah maritim negeri ini. Ekskavasi oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) bersama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menemui sisa kapal yang dianggarkan berusia antara 1,200 hingga 1,300 tahun, jauh lebih awal daripada catatan sejarah rasmi penubuhan Melaka pada abad ke-13.

Screenshot 2025 11 01 at 2.09.33 PM

Timbalan Pesuruhjaya JWN, Ruzairy Arbi, berkata hasil ekskavasi menunjukkan kapal tersebut berkemungkinan milik golongan bangsawan berdasarkan saiz dan struktur pembinaannya. Komponen seperti badan, haluan dan lantai kapal ditemukan tertanam dalam tanah berselut, dengan anggaran panjang antara 50 hingga 70 meter, menjadikannya antara kapal terbesar yang pernah dijumpai di rantau ini. Penemuan itu turut membuktikan bahawa kepakaran pertukangan kapal di Melaka sudah wujud jauh sebelum era Parameswara.

Menurut Ruzairy, ujian makmal mendapati kapal tersebut dibina menggunakan kayu saga dan merbau, dua bahan tempatan yang menepati ciri pembinaan kapal zaman dahulu. Kaedah binaannya juga menunjukkan penggunaan pasak kayu dan paku tembaga, bukannya logam, menyerupai teknik tradisional pembuat kapal di Makassar, Sulawesi yang masih dipraktikkan hingga kini. Penemuan itu sekali gus membuktikan bahawa teknologi maritim tempatan ketika itu sudah sangat maju.

Screenshot 2025 11 01 at 2.09.25 PM

Lebih menarik, di lokasi sama turut dijumpai serpihan porselin dan duit syiling lama, dipercayai dari zaman Sultan Mahmud, menandakan kapal itu mungkin digunakan oleh golongan diraja atau pembesar. Berdasarkan ketebalan dan reka bentuk papan kayu, ia dipercayai sepadan dengan kapal besar seperti Mendam Berahi yang pernah disebut dalam catatan sejarah lama Asia Tenggara.

Sementara itu, Ketua Projek, Muhammad Termizi Hasni, berkata kerja ekskavasi kini memasuki fasa konservasi, di mana komponen kapal akan dibersihkan dan disimpan sebelum dipamerkan kepada umum. Katanya, setiap bahagian kapal sedang dikenal pasti bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai fungsi, reka bentuk dan pemilik asalnya, sekali gus memberi pandangan baharu tentang sejarah maritim Melaka dan kebolehan pelaut tempatan pada zaman silam.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.