Enam sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemukan maut di dalam kereta Proton Saga Iswara yang tenggelam di dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah, pagi ini.
Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri dan empat anak berusia enam bulan hingga sembilan tahun.
Suasana pilu menyelubungi kawasan Sungai Korok dan ketika ini operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang dijalankan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jitra.
Artikel berkaitan: Cuba Nak Selamatkan Dari Terjatuh Dalam Kolam, Atuk & Cucu Maut Akibat Lemas
Artikel berkaitan: Seorang Wanita & Anak OKU Hilang Dihanyutkan Arus Deras Ketika Banjir Di Kuala Nerang
Sementara itu, ahli keluarga yang berada di lokasi kejadian dilihat menangis apabila melihat jasad diangkat seorang demi seorang.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita membuat laporan polis selepas abang, kakak ipar serta empat anak mereka gagal dikesan sejak Sabtu lalu selepas pulang bermalam di rumahnya di Taman Aman.
Nur Adliah Shuhada Ishak, 20-an, berkata abangnya, Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, bersama isteri, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, dan empat anak mereka dari Jerlun telah datang bermalam di rumahnya, kelmarin.
Katanya, keluarga itu memang selalu bermalam di rumahnya dan lazimnya akan pulang pada awal pagi sebelum Mohd Azim Ezzat yang bertugas sebagai pengawal keselamatan masuk kerja.
Namun, enam beranak itu didapati tiada di rumahnya kira-kira jam 5.30 pagi dan disangka mereka sudah pulang ke Jerlun di mana Mohd Azim Ezzat tinggal bersama mentua.
Kehilangan mereka disedari apabila ibu mentua Mohd Azim Ezzat menelefon Adliah memberitahu mereka tidak pulang ke rumah.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian