Rosmah Mansor Saman Harith Iskander, Didakwa Hina Rupa Paras Dalam Persembahan Komedi

14 hours ago 9

Pelakon dan pelawak senior, Harith Iskander, berdepan tindakan undang-undang selepas disaman oleh Datin Seri Rosmah Mansor berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan rupa paras dan fizikal terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu.

Tuntutan saman berkenaan difailkan oleh Rosmah, 75, menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi pada 9 Jun lalu dengan menamakan Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.

Artikel berkaitan: “Saya minta maaf..” –  Suspek Ugut Keluarga Harith Iskander Dipenjara 5 Bulan

Artikel berkaitan: Isu Pelawak Didakwa Menghina Islam: JAKIM Sudah Atur Tarikh Pertemuan Dengan Harith Iskander

Dakwa Disamakan Dengan Makhluk Halus

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Rosmah mendakwa Harith telah menayangkan imej makhluk halus sebelum memaparkan gambarnya ketika menjayakan persembahan “Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour” di Hotel Swiss-Garden, Melaka pada Januari lalu.

Cover 4808 Harith Isknnder The Outspoken Comedy Tour Melaka Web

Dakwa Rosmah lagi, sebelum paparan imej itu ditunjukkan, pelawak berkenaan terlebih dahulu membuat kenyataan kepada penonton bahawa sesiapa yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan ‘melihat sesuatu yang menakutkan’.

“Kenyataan berkenaan dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik saya, selain bertujuan mengaibkan saya melalui penghinaan bentuk fizikal (body shaming).

Perbandingan ini serius kerana ia tidak dibuat dalam konteks neutral atau dalam perbincangan biasa, sebaliknya ketika persembahan komedi di hadapan penonton secara langsung bagi meraih gelak tawa dan hiburan daripada orang ramai,” kata Rosmah dalam pernyataan tuntutannya.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian meluas di media sosial selepas seorang pengguna TikTok memuat naik dua klip rakaman persembahan tersebut yang meraih ratusan ribu tontonan.

Rosmah menegaskan, tindakan itu secara jelas bertujuan merosakkan reputasinya sebagai figura awam, isteri bekas Perdana Menteri, serta penaung pelbagai badan amal dan persatuan.

“Kenyataan itu juga untuk merosakkan reputasi, maruah dan nama baik saya oleh kerana kedudukan saya sebagai seorang figura awam, isteri bekas Perdana Menteri, penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan, serta individu yang pernah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara,” tambahnya.

Menerusi saman tersebut, Rosmah menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan, selain perintah injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. Beliau turut menuntut permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat yang perlu disiarkan di dua akhbar arus perdana dan akaun media sosial.

Harith Iskander Tepis Dakwaan, Nafi Niat Fitnah

Bagaimanapun, Harith Iskander menerusi penyataan pembelaannya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa paparan dalam persembahan komedinya itu menggambarkan Rosmah sebagai makhluk seram, hodoh, atau berunsur fitnah.

Pelawak berkenaan turut menjelaskan bahawa penyebaran klip video di platform TikTok tersebut berlaku di luar kawalannya.

“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” jelas Harith.

Peguam yang mewakili Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana Ezlyn Hashim, serta peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Harith Iskander mengesahkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi telah ditetapkan pada hari ini.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |