“Pegawai terbabit telah dipanggil” – AKPS KLIA Perjelas Isu Pegawai Minta RM100 Masuk Ke Akaun Peribadi

18 hours ago 10

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyiasat dakwaan tular mengenai seorang pegawainya menerima bayaran RM100 melalui kod QR ke akaun bank peribadi di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hantaran yang dimuat naik seorang pengguna Threads itu mendakwa dia dipaksa membayar ‘kompaun’ secara digital oleh pegawai berkenaan untuk dibenarkan membawa masuk makanan iaitu bakso dari luar negara.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Komander Pintu Masuk AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria, berkata Bahagian Integriti AKPS KLIA telah digerakkan bagi menyiasat kes ini secara menyeluruh demi memastikan ketelusan proses.

Pegawai yang dikaitkan dengan insiden berkenaan juga telah dipanggil oleh pengurusan tertinggi untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, AKPS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar prinsip integriti, menyalahgunakan kuasa atau ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya hasil siasatan membuktikan wujudnya sebarang salah laku, tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Pada masa sama, pihak AKPS telah menghubungi pemilik akaun terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu menerusi semakan Lobak Merah, pemilik akaun terbabit memaklumkan pihaknya akan tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Kastam Putrajaya dan berharap orang ramai memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menjalankan tugas.

Artikel berkaitan: “Semua lepas” – KA Kongsi Tips Buat Senarai Produk Makanan Yang Dibawa Jika Ke Luar Negara

Artikel berkaitan: Takut Dirampas Kastam Singapura, Bapa Gigih Habiskan Pau Daging Dimasak Anak

Terdahulu, pemilik akaun mendakwa membawa pulang beberapa pek bakso selepas tiba dari Indonesia melalui Terminal 2 KLIA.

Menurut hantaran itu, barangan makanan berkenaan dikesan ketika pemeriksaan sebelum dia dimaklumkan ia tidak dibenarkan dibawa masuk.

Pengguna terbabit mendakwa seorang pegawai kemudian meminta bayaran secara tunai RM100 dikatakan sebagai kompaun sekiranya mahu membawa masuk bakso berkenaan.

Dia mendakwa tidak mempunyai wang tunai sebelum diminta membuat pembayaran menggunakan kod QR yang dikaitkan dengan akaun bank peribadi.

Pengguna itu turut mendakwa menyimpan bukti transaksi berkenaan sebelum berkongsi pengalamannya di Threads dan juga membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Selepas hantaran itu mendapat perhatian, dia mendakwa dihubungi seorang individu yang menawarkan pemulangan wang RM100 dan memintanya memadamkan perkongsian berkenaan.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |