Niat Ziarah Kematian Berakhir Tragedi: Bapa Maut, 5 Ahli Keluarga Cedera SUV Jatuh Gaung Di Cameron Highlands

8 hours ago 9

Hasrat murni sebuah keluarga dari Kuala Lumpur untuk menziarahi ahli keluarga yang telah meninggal dunia di Cameron Highlands bertukar menjadi tragedi menyayat hati apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan maut di Batu 21, Jalan Tapah-Cameron Highlands, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, sebuah SUV jenis Perodua Aruz yang membawa enam sekeluarga telah terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter sebelum mendarat di dalam sungai yang cetek.

@tehoaismy

Keadaan sebuah kereta jatuh ke dalam gaung akibat tak ada penghadang jalan kawasan sekitar laluan tapah menghala kenderaan lain cameron highland #viral

♬ Suspenseful and tense orchestra(1318015) – SoLaTiDo

Menurut laporan Astro Awani, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 malam.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kenderaan tersebut telah terjatuh ke dalam sungai yang cetek dan berada dalam keadaan terbalik,” jelas beliau.

Nahas tersebut mengakibatkan pemandu lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit, manakala lima lagi penumpang mengalami kecederaan.

Mangsa Kanak-Kanak Dan Remaja

Mangsa yang tercedera terdiri daripada seorang wanita berusia 48 tahun, dua remaja perempuan (19 dan 17 tahun), serta dua kanak-kanak iaitu seorang lelaki berusia sembilan tahun dan seorang perempuan berusia enam tahun.

Difahamkan, sebelum pihak bomba tiba, orang awam yang berada di lokasi telah pun membantu mengeluarkan lima mangsa yang cedera untuk diserahkan kepada pihak perubatan. Walau bagaimanapun, pemandu kenderaan dilaporkan masih tersepit di tempat duduknya.

Operasi Menyelamat Menggunakan Konsep SAVER

Pihak bomba terpaksa menggunakan teknik khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pegawai perubatan.

“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota untuk menganjakkan tempat duduk mangsa dan menggunakan stretcher untuk mengeluarkan mangsa,” jelasnya lagi.

Malangnya, mangsa yang tidak sedarkan diri itu disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan bedah siasat, manakala ahli keluarga yang lain dihantar ke hospital berdekatan dengan ambulans bagi menerima rawatan kecemasan. Operasi menyelamat yang melibatkan 14 anggota dari BBP Tapah dan Ringlet itu berakhir sepenuhnya pada jam 11.02 malam.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |