“Kalau rindu, pandang langit dan senyum…” – Status Terakhir Cikgu E Untuk Keluarga Buat Ramai Sebak

1 week ago 34

Masihkah anda ingat dengan bekas guru, Nassry Mardee Ismail, atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, yang sebelum ini tabah berjuang melawan tiga jenis kanser iaitu buah pinggang, kelenjar dan paru-paru yang dikesan sejak Mac tahun lalu?

Hari ini, beliau memuat naik satu hantaran menyentuh hati di laman Facebook bertajuk “Status Terakhir Untuk Keluarga Tersayang” yang ditujukan khas buat isteri dan lima orang anaknya.

Lebih memilukan, coretan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa Cikgu E mungkin tidak mempunyai masa yang panjang untuk bersama keluarga tercinta.

“Andai satu hari nanti saya sudah tiada, ingatlah bahawa setiap nafas terakhir saya dulu adalah kerana kasih dan cinta saya pada kamu semua,” tulisnya.

Artikel berkaitan: “Saya hanya mahu terus bernafas” – Hidap 3 Jenis Kanser, Cikgu E Tetap Tabah Demi Keluarga Tercinta

Artikel berkaitan: Bengang Ditegur Kerana Cuba Buli Rakan, Bekas Guru Dedah Kes Murid Tahun 1 Panggil Cikgu B*bi

577759693 2964517120400688 5947582232566119269 nGambar Cikgu E dan keluarga yang dimuat naik olehnya di laman Facebook.

Dalam hantaran sama, Cikgu E yang kini berusia 45 tahun turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada isterinya yang disifatkan sebagai “tiang doa dan kekuatan” sepanjang menjalani hidup bersama-sama.

“Teruslah hidup dengan tenang, jangan sesekali bersedih lama-lama. Saya mahu awak bahagia, sebab bahagia awak itu tanda saya tenang di sana,” katanya.

Lebih menyentuh perasaan, Cikgu E turut menitipkan pesanan khusus buat setiap anaknya, dari anak sulung hingga si bongsu, agar mereka terus kuat, sabar dan sentiasa mendoakan ibu masing-masing.

Antaranya, beliau berpesan kepada anak sulung, Hakeem, agar menjadi pelindung keluarga, manakala kepada anak-anak perempuan, beliau menitipkan kata semangat supaya terus menjadi sumber kekuatan dan keceriaan keluarga.

“Abah sayang kamu semua sampai ke syurga. Kalau rindu, pandang langit dan senyum… sebab di situ juga abah sedang mendoakan kamu,” tulisnya lagi.

Setakat artikel ini ditulis, hantaran berkenaan telah meraih lebih 11,000 tanda suka dan 900 komen daripada pengguna media sosial.

Rata-rata netizen menzahirkan rasa sebak dan mendoakan agar Cikgu E terus diberi kekuatan serta kesembuhan daripada penyakit yang dihidapi.

Sumber: FB Cikgu E

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |