Bayi 8 Bulan Tidak Sedarkan Diri Di Rumah Pengasuh

Tujuh hari bertarung nyawa di hospital, seorang bayi perempuan berusia 8 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuh.

Menurut laporan, mangsa Aufa Zayyana  Mohamad Zaer Wafar dihantar oleh ibunya, Aisyawati Isa, 34, dalam keadaan sihat dan ceria ke rumah pengasuh pada pagi hari kejadian, 15 April lalu.

Bagaimanapun, pada petang hari yang sama sekitar 5.20 petang, pengasuh menghubungi ibu mangsa untuk memaklumkan bayi berkenaan tidak sedarkan diri sebelum segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Hantar pagi itu anak ceria & sihat

“Pengasuh memaklumkan anak saya tidak sedarkan diri. Apabila saya tiba di rumahnya di Taman Seri Wang Fasa 2, keadaan anak memang tidak sedarkan diri dan kelihatan seperti diserang sawan.

“Saya hantar arwah ke rumah pengasuh pada 6.45 pagi dan dia berada dalam keadaan yang sangat sihat serta ceria,” katanya.

Susulan itu, bayinya terus dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala.

Screenshot 2026 04 28 165839

Difahamkan, bayinya itu baru kira-kira sebulan dihantar ke pengasuh berkenaan yang tinggal berdekatan dengan kediaman mereka.

“Bila ditanya, pengasuh hanya berulang kali meminta maaf dan memberitahu anak saya asyik menangis sebelum tiba-tiba menjadi tidak sedarkan diri.

“Sepanjang sebulan menghantarnya di situ, anak saya tidak mempunyai sebarang kesan lebam atau kelakuan pelik,” kata Aisyawati.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis dan melantik peguam bagi mendapatkan nasihat serta tindakan undang-undang selanjutnya.

“Kami sekeluarga hanya mahukan kebenaran dan keadilan untuk arwah Aufa,” katanya.

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di kampung halaman keluarga di Jeli, Kelantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.