Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) untuk GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) iaitu Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 lagi pemimpin tertinggi organisasi tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang sejak 5 tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam prosiding yang dijalankan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
Artikel berkaitan : Gelaran Datuk CEO GISBH Ditarik Serta Merta – Kerajaan Negeri Melaka
Artikel berkaitan : Ummu Atiyah Ambil Masa 30 Minit Tunjuk Lokasi Dikurung Di Perkampungan GISBH
Berdepan hukuman penjara
Kesemua tertuduh adalah Nasiruddin Mohd Ali, 66, isterinya, Azura Md Yusof, 58, dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33.
Dalam pada itu 8 lagi tertuduh wanita lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Salmiah Ismail, 58, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29 dan Nur Jannah Omar, 33.
Dalam pada itu, terdapat 11 tertuduh lelaki lain dan mereka ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, mereka telah didakwa menjadi anggota GISBH yang juga merupakan satu pertubuhan yang telah menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara bulan Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun atau denda yang tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan asal iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu namun ditawarkan pertuduhan pilihan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada prosiding 30 Oktober lalu.
Pendakwaan tersebut dibuat berdasarkan Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang jaminan diberikan kepada semua tertuduh memandangkan kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Prosiding tersebut diteruskan dengan hujahan mitigasi untuk mengurangkan hukuman oleh peguam yang mewakili kesemua tertuduh kemudian sesi pemberatan oleh pihak pendakwaan.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mereka selaku pemohon merayu kepada Mahkamah Tinggi agar dapat dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan.
Namun, pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga bekas akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Bagaimanapun, pada 24 Mac lalu, semua tertuduh lelaki gagal dalam permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan namun Mahkamah Tinggi membenarkan tertuduh-tertuduh wanita diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Ia bersertakan syarat tambahan di mana mereka harus melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap dua minggu, hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan dan tidak mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan.
Sumber : Sinar Harian

2 weeks ago
29






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















