Suspek remaja yang menikam rakan di sebuah sekolah menengah di Banting memberi alasan bahawa tindakannya itu disebabkan rasa tidak puas hati selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa buli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bagaimanapun berkata, siasatan awal yang dijalankan setakat ini tidak menemukan bukti yang menunjukkan insiden buli benar-benar berlaku.
Menurut beliau, polis telah mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk 10 pelajar yang namanya tular di media sosial, namun setakat ini tidak menjurus ke arah perbuatan buli.
“Hasil siasatan awal pada peringkat ini kita mendapati, alasan yang diberikan oleh suspek adalah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan suspek memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek.
“Namun, hasil keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlaku kejadian buli,” katanya.
Dalam perkembangan sama, polis turut meneliti kemungkinan suspek berusia 15 tahun itu berdepan tekanan emosi serta masalah keluarga yang kini sedang dalam penilaian pakar kaunseling.
Selain itu, polis juga menyiasat aspek penggunaan media sosial yang mungkin mempengaruhi minda dan kelakuan suspek.
“Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan dari polis,” jelasnya.
Polis turut mendedahkan bahawa suspek pernah terlibat dalam satu insiden terjun dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu. Malah, suspek turut disahkan penerima kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Autisme.
Difahamkan, remaja terbabit tidak hadir ke sekolah sejak lapan bulan lalu dan mengikuti pembelajaran di rumah (home schooling) kerana masalah kesihatan.

Artikel berkaitan: “Nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10” – Bapa Mangsa T*kam Sekolah Di Banting
Artikel berkaitan: Bapa Mangsa T*kam Bersedia Bersemuka Dengan Keluarga Suspek
Sorok pisau dalam beg, masuk ketika pagar terbuka
Siasatan turut mendapati suspek membeli senjata tajam yang digunakan dalam kejadian itu menerusi platform dalam talian.
Menurut Shazeli, senjata tersebut disimpan di dalam beg galas sebelum suspek mengambil kesempatan memasuki kawasan sekolah ketika pintu pagar dibuka.
Beliau menegaskan keadaan itu bukan berpunca daripada kelemahan sistem keselamatan sekolah, sebaliknya suspek menggunakan peluang ketika pintu pagar utama sedang dibuka.
Terdahulu, media melaporkan mangsa cedera selepas dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian belakang badan, bahu dan muka dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting, Selangor.
Sumber: Berita Harian

10 hours ago
12






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)












![“Ada 24 cucu, ini no 25” – [VIDEO] Ramai Tumpang Terharu Tengok Makcik India Bagi Maruku Untuk 2 Beranak Buka Puasa](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2026/03/ft-patti.jpg)





