Syaz Ft 2026 08 26T130758.499

Pengalaman menjayakan supertele novel seram terbaharu, Bisikan Pontianak, meninggalkan detik hitam buat pelakon Nadia Brian apabila dia mendakwa benar-benar mengalami kejadian kerasukan ketika sedang mendalami wataknya di set penggambaran.

Menurut laporan Berita Harian, kejadian yang mencemaskan itu turut disaksikan oleh pelakon gandingan, Datuk Remy Ishak, yang memegang watak sebagai Arfan. Insiden berkenaan sekali gus memberikan pengalaman mistik yang sukar dilupakan buat kedua-dua bintang utama naskhah arahan Faizul Rashid itu.

Artikel berkaitan: Nadia Brian Tak Kisah Kahwin Dengan Suami Orang Kalau…

Artikel berkaitan: Kes Bunuh Isteri & Anak: Polis Jumpa Mayat Ke-3 Di Pantai, Suspek Dakwa Anak Dirasuk

Nadia, 34, berkongsi bahawa insiden seram itu berlaku sewaktu dia sedang melakonkan babak kerasukan, dan impak daripada kejadian berkenaan masih menghantuinya sehingga kini.

“Memang saya dirasuk, tetapi kalau boleh saya tak nak ingat pun apa yang berlaku sebab ia macam pascatrauma.

Sampai hari ini saya masih tertanya-tanya apa yang berlaku, sama ada ia datang daripada minda separa sedar atau sebaliknya,” katanya.

Menurut Nadia, walaupun gangguan itu berlaku dalam tempoh singkat iaitu kurang daripada lima minit, emosi dan mentalnya terganggu teruk sehingga penggambaran terpaksa dihentikan beberapa jam bagi membolehkannya kembali tenang.

“Saya jadi sangat ‘down’ ketika itu dan memang tak nak teruskan penggambaran. Produksi beri masa hampir tiga atau empat jam untuk kami berehat. Saya rasa nak balik kerana terlalu gementar, takut dan trauma,” katanya.

Dalam pada itu, aura lokasi penggambaran di sebuah kediaman yang dipenuhi barangan antik turut menyumbang kepada suasana mistik sepanjang proses penggambaran dijalankan.

“Rumah itu sebenarnya tempat pengumpul barang antik. Ada banyak lukisan, piano, kerusi serta tanduk binatang.

Hari pertama masuk pun saya sudah rasa sesuatu yang berbeza dengan suasana dan aura di tempat itu,” katanya.

Meskipun berdepan detik mencabar yang tidak dijangka, Nadia menegaskan insiden itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus menerima sebarang watak mencabar pada masa akan datang.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.