Merdeka Bersama Rapid KL: Perkhidmatan Rel Dan Bas Terpilih Beroperasi 24 Jam Pada 30 & 31 Ogos 2026

8 hours ago 9

Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam bermula 30 Ogos hingga 31 Ogos 2026 bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Operasi 24 jam ini melibatkan semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL, merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.

Putrajaya Line Train Set 216 Scaled

Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan dipertingkatkan di beberapa laluan utama dan diselaraskan berdasarkan permintaan serta keadaan semasa di stesen. Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform.

Manakala perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) turut beroperasi selama 24 jam, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan.

Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar, khususnya mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta acara Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi 31 Ogos 2026.

Bagi menyokong pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan 103 buah bas menerusi dua laluan berikut:

1. MS01
Dari: Stesen Putrajaya Sentral
Ke: Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2
Waktu Operasi: 2.00 petang (30 Ogos) – 2.00 petang (31 Ogos)

2. MS02
Dari: PICC
Ke: Jalan Tun Hussein, Presint 3
Waktu Operasi: 4.00 pagi – 2.00 petang (31 Ogos)

Perkhidmatan bas perantara percuma ini bertujuan memudahkan akses kepada orang ramai untuk ke kawasan sambutan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Putrajaya.

Bagi memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh sambutan, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan pada 30 dan 31 Ogos mengikut syif bagi menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat.

Rapid KL menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Penumpang turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas, khususnya ketika berada di stesen dan kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi.

Maklumat terperinci mengenai operasi dan perkhidmatan Rapid KL sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan 2026 boleh diakses menerusi platform media sosial Rapid KL atau layari MyRapid.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |