Prabowo Dna India

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendedahkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalaninya menunjukkan beliau mempunyai keturunan India.

Perkara itu dikongsikan ketika beliau berucap di hadapan komuniti India di Jakarta, sambil berseloroh bahawa muzik India sentiasa membuatkan beliau berasa ingin menari.

“Saya mempunyai DNA India. Setiap kali mendengar lagu India, saya mahu menyanyi dan menari,” katanya sambil disambut sorakan hadirin.

Prabowo turut bergurau dengan mengatakan ramai anggota kabinetnya gemar menyanyikan lagu-lagu India dan mungkin juga mempunyai DNA India.

Dalam pada itu, Prabowo memuji pengaruh besar tamadun India terhadap Indonesia, khususnya dalam aspek budaya, bahasa dan sejarah yang menurutnya telah lama membentuk identiti negara itu.

Artikel berkaitan: Walaupun Hidup Sederhana, Rakyat Indonesia Paling Bahagia – Prabowo

Artikel berkaitan: Para Ibu ‘Excited’ Sampai Berebut Naik Pentas Saat Prabowo Minta 10 Wakil Tunjuk Contoh Potongan Ayam

2026 07 07 177357 1783400894. Large

Ucapan terbabit turut mendapat perhatian Perdana Menteri India, Narendra Modi yang tersenyum dan memuji kenyataan itu dalam ucapannya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Prabowo atas kata-kata yang begitu menyentuh hati. Kenyataan beliau bahawa beliau mempunyai DNA India telah menyentuh hati jutaan rakyat India,” kata Modi.

Menurut Modi, kenyataan itu mencerminkan hubungan persahabatan yang erat serta ikatan sejarah dan budaya yang telah lama dikongsi antara kedua-dua negara.

Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan yang berakar umbi sejak berabad-abad lalu, dengan pengaruh budaya serta perdagangan antara kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan dua hala sehingga kini.

Lawatan rasmi Modi ke Indonesia turut menyaksikan kedua-dua negara menandatangani beberapa perjanjian penting termasuk kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan, pertanian dan sumber mineral kritikal, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara New Delhi dan Jakarta.

Sumber: Times of India, Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.