Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
RMK ialah satu hala tuju yang bakal memacu rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’, disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan.
Dalam pembentangan itu, terdapat 5 intipati penting yang bermanfaat serta menyentuh terus kehidupan rakyat;
1. Kos sara hidup
Dalam pembentangan itu, PMX mengumumkan Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan dipertingkatkan bagi golongan yang memerlukan. Selain itu, Jualan Rahmah juga diteruskan di seluruh Malaysia.
Kadar gaji minimum juga diperluas kepada graduan, pekerja separa mahir, lepasan TVET di bawah Kod MASCO 8 dan ke atas.
Dalam pada itu, difahamkan terdapat sejuta unit rumah mampu milik akan dibina Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, pemaju swasta dari 2026 hingga 2035.
2. Peluang pekerjaan & TVET
PMX berkata, kerajaan akan memperkenal Skim Pembiayaan Perkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Madani serta Dana Latihan TVET bagi menggalakkan penyertaan golongan belia.
Malah, kerajaan menyasarkan 700,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan bagi sektor pembuatan dan 500,000 lagi dalam bidang ekonomi digital dalam tempoh RMK13.
Dalam pada itu, penawaran program TVET turut diperluas kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat Madani yang mempunyai nilai tambah kepakaran teknikal.
3. Ekonomi rakyat & wilayah
Dalam pembentangan itu tadi difahamkan, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkukuh infrastruktur asas, merangsang aktiviti ekonomi dan menggalakkan pelaburan strategik, terutama di desa dan kawasan pembangunan.
Pada masa sama, pelaburan berimpak tinggi akan diperluas ke luar kawasan tumpuan, termasuk di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan Pelabuhan Darat Perlis; Taman Perindustrian Hijau Bersepadu, Kerian dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut, Perak.
Perkhidmatan pengangkutan awam yang bersepadu di bandar utama akan terus ditambah baik bagi meningkatkan ketersambungan batuan pertama dan akhir melalui tambahan 300 unit van transit responsif atas permintaan (DRT) dan tambahan 1,200 unit bas.
Artikel berkaitan: AS Puji Kepimpinan PMX, Jadi Orang Tengah Rundingan Gencatan Senjata Kemboja-Thailand
Artikel berkaitan: Ini 6 Penghargaan Buat Rakyat Malaysia Yang Diumumkan PMX Sebentar Tadi
4. Kesihatan & pendidikan
Sepanjang tempoh RMK13, sektor kesihatan akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion sekali gus mengurangkan perbelanjaan rakyat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Dana itu merangkumi latihan pra-perkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan, serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan.
PMX turut memaklumkan beberapa hospital dan klinik kerajaan akan dinaiktaraf sepanjang RMK13.
Bagi sektor pendidikan pula, kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah di negara ini bermula pada usia lima tahun, inisiatif berkenaan bagi meningkatkan keberhasilan pendidikan negara.
Dalam pada itu, terdapat juga pengukuhan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan literasi digital, termasuk pengenalan asas kecerdasan buatan (AI) akan digerakkan.
Ujarnya, langkah ini bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan bernilai tinggi.
5. Keadilan Sosial & Golongan Sasar
Bagi meningkatkan penyertaan warga emas, Orang Asli dan OKU dalam pasaran kerja, sokongan dan latihan yang mencukupi akan diberikan melalui program Akademi Dalam Industri (ADI), Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan insentif kepada majikan.
Malah, Akta Orang Asli 1954 turut akan disemak semula, tambah baik perlindungan hak dan darjat komuniti
Difahamkan, pelaksanaan subsidi bersasar seperti diesel, elektrik juga turut ditambah baik demi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Konklusinya, RMK13 ini bertujuan untuk menjadi dokumen yang ringkas, komprehensif dan berorientasikan pembaharuan yang tertumpu kepada memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
Ia juga menekankan ekonomi yang dipacu penggunaan, tadbir urus yang baik, dan pendekatan keseluruhan masyarakat untuk memastikan integriti dan akauntabiliti.
Sumber: Harian Metro, Malaysia Gazette, Astro AWANI