Syaz Ft 2026 07 08T114142.423

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan bahawa DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, buat masa ini tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Pengerusi MAIS, Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin Bin Saidin berkata, pihak MAIS mengambil maklum pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara.

Artikel berkaitan: MAIS Arah Pertemuan Segera Selesai Isu Dakwaan Kelewatan Pengebumian Jenazah

Artikel berkaitan: Dapat Pengampunan Sultan Selangor & Kini Bergelar ‘Dr’, Kisah Bekas Banduan Ini Buat Ramai Sebak!

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pentadbiran hal ehwal agama Islam di Negeri Selangor adalah di bawah kuasa prerogatif DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menerusi kenyataan rasmi tersebut, MAIS memperincikan beberapa faktor utama di sebalik ketetapan berkenaan:

  • Memelihara Pengimarahan Masjid: Kebenaran solat Jumaat di pusat beli-belah dikhuatiri akan menjejaskan usaha mengimarahkan masjid. Hal ini kerana jemaah berkemungkinan berkurangan di masjid sedia ada memandangkan mereka mempunyai pilihan untuk beribadah di mall.
  • Kapasiti Masjid & Surau Sedia Ada Mencukupi: Selangor kini mempunyai 448 buah masjid dan 379 buah surau yang telah diberikan kebenaran solat Jumaat. Jumlah ini amat mencukupi untuk menampung kehadiran jemaah. Kebanyakan pusat beli-belah juga terletak berdekatan dengan masjid atau surau solat Jumaat.
  • Kesesuaian Tempat Ibadah: Solat Jumaat merupakan ibadah yang mulia dan lebih sesuai didirikan di masjid yang khusus, berbanding di pusat beli-belah yang lazimnya merupakan tempat perniagaan, hiburan, dan rekreasi. Bagi pekerja di mall, masa rehat yang diperuntukkan adalah mencukupi untuk bergerak ke masjid berhampiran.
  • Kawalan & Pentadbiran: Pelantikan pegawai seperti Imam, Bilal, serta kawalan pematuhan khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS memerlukan pemantauan dan tadbir urus yang ketat. Tanpa pelantikan rasmi daripada MAIS, ia akan menyukarkan kawalan pengurusan.
  • Pengecualian Khas Bersifat Sementara
    Dalam pada itu, MAIS menjelaskan wujud satu surau di pusat beli-belah di Selangor yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini. Namun, kebenaran tersebut hanyalah bersifat sementara kerana tiada masjid di kawasan berdekatan.

Kebenaran berkenaan akan ditarik balik sekiranya sebuah masjid baharu dibina di kawasan sekitar pada masa akan datang.

Sehubungan dengan itu, MAIS menyeru seluruh umat Islam di Negeri Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau sedia ada sebagai pusat ibadah utama serta agen perpaduan ummah.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.