Suasana penuh emosi menyelubungi Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai negara anggota ke-11 ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN disaksikan semua pemimpin negara anggota ASEAN dan menandakan permulaan baharu bagi negara itu dalam kerjasama serantau Asia Tenggara.
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, kelihatan sebak selepas menandatangani Deklarasi Penyertaan Rasmi negaranya sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, hari ini.Langkah itu juga sekali gus mengesahkan penyertaan rasmi Timor-Leste selepas 14 tahun mengemukakan permohonan keanggotaan.
Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan bahawa penyertaan Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN serta memperkukuh semangat kekitaan dan perpaduan serantau.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan terus mendapat sokongan berterusan daripada negara-negara anggota.
Artikel berkaitan: Perdana Menteri Thailand Batal Lawatan ke Sidang Kemuncak ASEAN Selepas Pemergian Permaisuri Sirikit
Artikel berkaitan: Selain Trump, Ini Senarai Penuh Pemimpin Dunia Yang Bakal Hadir Sidang Kemuncak ASEAN

Menurut Anwar, Malaysia sentiasa menjadi penyokong tegas terhadap penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN dan memainkan peranan penting dalam membantu negara itu meningkatkan keupayaan teknikal serta kapasiti institusi melalui Sekretariat ASEAN.
Katanya, langkah itu bukan sahaja memperkukuh masa depan bersama rantau ini, tetapi juga menjadi simbol kejayaan diplomasi dan kepimpinan Malaysia dalam arena antarabangsa.
Di Pusat Media Antarabangsa (IMC), kegembiraan jelas terpancar apabila delegasi dan wakil media dari Timor-Leste dilihat menitiskan air mata sejurus pengumuman rasmi dibuat.
Antara yang terharu ialah wakil delegasi, Francisca Maia, yang menyifatkan detik bersejarah itu sebagai pencapaian paling bermakna kepada rakyatnya.
“Kami sebagai warganegara yang berpeluang menyaksikan detik ini di Kuala Lumpur amat berbangga kerana akhirnya perjuangan kerajaan menjadi negara anggota ASEAN menjadi kenyataan.
“Ia detik yang penuh emosi dan aspirasi kerana dapat menjadi sebahagian daripada delegasi, dan ini juga kali pertama saya menjejakkan kaki ke Malaysia,” katanya.
Kegembiraan turut dikongsi wartawan SMnews Timor-Leste, Remizia Boavida, yang teruja dapat membuat liputan pada majlis bersejarah itu. Menurutnya, pengumuman rasmi tersebut menjadi penutup kepada penantian panjang seluruh rakyat Timor-Leste.
“Ini masa yang sangat lama dinantikan semua. Saya berbangga dapat hadir membuat liputan dan pada masa sama menyaksikan detik bersejarah ini secara langsung. Terima kasih Malaysia, terima kasih ASEAN kerana penantian kami akhirnya berakhir,” katanya.
Proses keanggotaan Timor-Leste mengambil masa lebih sedekad untuk disahkan susulan keperluan memenuhi syarat seperti kesediaan ekonomi, kapasiti institusi dan persetujuan sebulat suara dalam kalangan semua negara anggota sedia ada.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja pada November 2022, pemimpin ASEAN telah bersetuju secara dasar untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 dan memberikan status pemerhati sebelum keahlian penuh disahkan.
Sumber: Malay Mail, Buletin TV3

13 hours ago
6






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















