Seorang wanita tempatan meluahkan rasa kesalnya berkahwin dengan seorang lelaki warga asing apabila mengetahui dirinya hanyalah dipergunakan dengan lelaki tersebut.
Memetik sumber Harian Metro, Adilah berkata dia terpedaya dengan janji manis bekas suami warga asing yang memujuk menggunakan namanya untuk mendapatkan lesen perniagaan dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beberapa tahun lalu.
“Saya menyesal selepas terbuai dengan ayat manis lelaki Pakistan yang rupa-rupanya ada niat lain mahu mempergunakan saya untuk membesarkan empayar perniagaan di sini,” kata Adilah (bukan nama sebenar) yang berusia lingkungan 40-an.
Artikel berkaitan: Musykil! JIM Siasat Perkahwinan Wanita Tempatan Warga Emas Dengan Lelaki Warga Asing Usia 20-an
Artikel berkaitan: Ramai Jejaka Pakistan Pilih Nikah Wanita Kelantan, Lelaki Pula Pilih Wanita Thailand – JIM
Cerai dengan suami pertama untuk kahwin dengan lelaki warga asing
Berkongsi kisahnya, dia yang merupakan seorang peniaga kedai makan sudah berkahwin dengan lelaki tempatan namun bekas suami pertamanya itu mengalami masalah kesihatan.
Dia kemudian berkenalan dengan lelaki warga asing yang juga pemilik sebuah kedai perabot di kawasan berhampiran premisnya.
“Perkenalan itu membawa perasaan suka dan saya kemudian menuntut fasakh sebelum berkahwin dengan lelaki warga asing itu yang mendakwa masih bujang.”
Menurut Adilah, pada awal perkahwinan dengan lelaki warga asing terbabit baik-baik saja namun tidak lama selepas itu suaminya mula berubah menjadi terlalu cemburu dan dia dipujuk untuk membuat lesen perniagaan dan pendaftaran SSM untuk membesarkan empayar perniagaannya.
Rupanya dah ada 2 isteri lain…
Disebabkan begitu sayang dengan lelaki itu, dia menurut kemahuannya dan mengakui perniagaan warga asing itu semakin maju hingga membawa pulangan yang besar namun terbongkar rahsia besarnya yang mempunyai isteri di negara asal.
Malah, lebih mengejutkan apabila suaminya diketahui mempunyai seorang lagi isteri warga asing selepas berkahwin dengannya.
“Saya beri dia guna lesen perniagaan atas nama saya, besarkan lagi perniagaan perabot dia dan dapat untung besar tetapi dia tipu saya.
“Saya berasa menyesal dan terasa dipergunakan. Saya menuntut cerai kerana memang sudah tidak tahan dengan sikap cemburu buta dia selain beberapa isu lain namun dia memujuk kerana bimbang saya ambil semula lesen itu,” katanya.
Katanya, walaupun sudah berpisah, lelaki warga asing itu masih menggunakan lesen perniagaan atas namanya dan membayar wang sewa untuk lesen berkenaan.
“Saya tahu tindakan berkenaan salah dan mahu ambil tindakan pembatalan lesen itu supaya dia tidak terus mempergunakan nama saya. Bagi saya perkahwinan dengan warga asing ini perlu lebih berhati-hati supaya apa yang dilalui tidak berlaku lagi,” katanya.
Sumber: Harian Metro