alphard langgar motosikal terbabas dalam longkang

Tular di media sosial sebuah video melibatkan pemandu MPV jenis Toyota Alphard berwarna hitam melanggar penunggang motosikal sebelum kenderaannya terbabas ke dalam longkang di hadapan sebuah taman perumahan.

Dalam rakaman itu juga, turut kelihatan seorang wanita cuba menghalang tindakan pemandu berkenaan.

Pemandu kereta direman

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Vikra Mathitthan, insiden terbabit berlaku di Taman Johor Jaya, Pasir Gudang pada petang Rabu dan dilaporkan penunggang serta pembonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan ringan.

Susulan kejadian itu, pemandu yang merupakan lelaki tempatan berusia 18 tahun ditahan reman pada jam 9.40 malam Khamis.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal dikatakan menghalang laluan sebuah MPV.

“Pemandu MPV didapati membunyikan hon sehingga telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan antara kedua-dua individu tersebut.

“Seterusnya pemandu MPV itu juga didapati telah melanggar penunggang motosikal sehingga menyebabkan kecederaan kepadanya dan kerosakan kepada kenderaan terbabit,” katanya.

Artikel berkaitan: “Mewah Di Malaysia, Tapi Teksi Di Jepun” – Lelaki Kongsi Pengalaman Lihat Alphard Di Jepun

Artikel berkaitan: “Mohon viralkan” – Perompak Selamba Larikan Kereta Alphard Dalam Rumah Walaupun Nampak ‘Owner’

Sementara itu, penunggang motosikal kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru kerana mengalami kecederaan ringan di beberapa bahagian badan serta pendarahan di kepala.

Jelasnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan isterinya yang merupakan pembonceng motosikal turut mengalami kecederaan ringan selepas diseret dalam kejadian berkenaan.

Suspek kini direman selaman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307, 506, 160 dan 182 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek juga disiasat menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seri Alam kerana memandu secara melulu selain membuat laporan polis palsu berhubung kejadian terbabit.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.