Negeri Sabah kini berdepan dengan tiga bencana yang berlaku serentak iaitu banjir, kebakaran dan tanah runtuh hingga menyebabkan enam daerah di negeri itu diisytiharkan darurat dan 2,533 mangsa dilaporkan terkesan dengan kejadian ini.
Terbaru semalam, tular sebuah video memaparkan sebuah kenderaan milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi jambatan yang dilanda banjir di Kampung Nuntunan Apin-apin.
Menurut Harian Metro, difahamkan mangsa lelaki yang dipercayai kakitangan SESB berusia 30-an bersama dua rakannya sebelum ini melakukan kerja-kerja di pencawang berhampiran jambatan gantung.
Artikel berkaitan: “Poster tarikh penting PRU DUN Sabah itu palsu” – SPR
Artikel berkaitan: “Air dah makin deras” – Wartawan Pakistan Hanyut Ketika Liputan Banjir, Detik Cemas Dirakam Secara Langsung
Mereka kemudian cuba melintas jambatan simen di kawasan berkenaan namun tiba-tiba arus deras melanda sehingga menyebabkan ketiga-tiga mangsa panik.
Dua mangsa berjaya keluar ke tebing, manakala mangsa sempat berpaut pada tali sebelum ia terlepas dan dihanyut arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.57 malam dan pasukan dengan sembilan anggota bersama jentera ke lokasi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.
“Pencarian ditumpukan di tebing sungai kerana keadaan sungai berarus deras,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Pun begitu, difahamkan sehingga jam 11.30 malam, mangsa masih belum ditemui.
Sumber: Harian Metro