Syaz Ft 2026 06 15T102050.485

Sebuah tragedi menyayat hati berlaku di KM43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Karak pada Ahad, apabila empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai A Halim Hasoon (55 tahun), Rozita Buang (58 tahun), Norbahyah A Halim (26 tahun), dan bayi malang, Nayla Afya Aizat yang baru berusia setahun.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 4.35 petang.

Artikel berkaitan: “Ketika kemalangan dia pakai baju saya” – Ibu Tak Sangka Ungkapan ‘Selamat Tinggal Umi’ Jadi Kenangan Terakhir

Artikel berkaitan: Bayangkan Arwah Macam Anak Sendiri, Saksi Dedah Detik Tolong Alih & Tutup Kepala Mangsa Kemalangan Maut

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai. Sebaik tiba pada jam 5.15 petang, pihak bomba mendapati sebuah kereta jenis Honda City telah dihempap oleh treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas,” katanya.

Operasi menyelamat itu turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Elektriksolar Janda Baik. Sebuah jentera berat milik syarikat konsesi lebuh raya juga terpaksa digunakan untuk mengangkat treler tersebut bagi memudahkan proses mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak pegawai kesihatan. Sementara itu, pemandu treler berusia 40 tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan.

Kesemua jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.