Wanita Hilang 2019 Selamat Kahwin Warga Asing

Seorang wanita yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Johor Bahru sejak 2019 akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah kediaman di Taman Helang Perdana, Kuah, Langkawi, semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman yang berkata, penemuan itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam sebelum sepasukan anggota menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 malam.

Sudah berkahwin dengan warga asing

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia 21 tahun itu tinggal di rumah tersebut bersama seorang anak.

“Pemeriksaan lanjut berdasarkan rekod orang hilang mendapati, wanita berkenaan masih tersenarai sebagai individu hilang susulan laporan polis yang dibuat di Majidee, Johor pada 2019.

“Wanita terbabit mengaku keluar meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru sebelum menetap di Langkawi.

“Wanita itu juga mendakwa telah berkahwin dengan seorang warga asing, namun suaminya tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Screenshot 2026 06 19 120708

Artikel berkaitan: “Rupanya tertekan kerja…” – Nur Dinie Yang Hilang Sejak Isnin Akhirnya Ditemui Selamat

Artikel berkaitan: Warga Emas Hilang 3 Hari Dijumpai, Dakwa Ikut ‘Budak’ Sehingga Keletihan

Tambahnya lagi, pihak polis telah memaklumkan kepada ahli keluarga wanita terbabit sejurus penemuannya.

Terdahulu, tular satu hantaran yang mendakwa seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dari Johor dilaporkan hilang sejak beberapa tahun lalu dan dipercayai dibawa lari oleh seorang warga asing ke Langkawi.

Sumber: Berita Harian, Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.