Polis menahan seorang lelaki dipercayai suami kepada mangsa tragedi dua beranak yang ditemui mati dalam keadaan tragis di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berkenaan kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.
“Buat masa ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek sebenar serta motif di sebalik kejadian,” katanya, lapor Sinar Harian.

Artikel berkaitan: Suami Pulang Terkejut, Temui Isteri Dan Anak Maut Dalam Rumah
Artikel berkaitan: Tak Sempat Elak Motosikal Tiba-tiba Tukar Arah, Suami Isteri Patah Tulang, Kereta Dipandu Terbabas
Difahamkan, kedua-dua mayat iaitu seorang wanita berusia 51 tahun dan anak perempuannya berusia 11 tahun telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Terdahulu, suasana di lokasi kejadian dirundung pilu apabila pasukan forensik dan patologi selesai menjalankan pemeriksaan sebelum mayat dibawa keluar kira-kira jam 1.45 pagi.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa wanita ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah dalam keadaan amat memilukan dengan kepalanya hampir terputus, manakala anaknya ditemukan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah sewa mereka.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa suami mangsa sendiri menemui jasad kedua-duanya sekitar jam 7.30 malam Sabtu sebelum memaklumkan kepada jiran dalam keadaan sebak.
Penduduk sekitar menyifatkan pasangan beranak itu sebagai peramah dan tidak pernah menimbulkan masalah.