Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar iaitu Azhari Abd Sagap, 31 memaklumkan kepada Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini bahawa seorang pelajar yang dirujuk sebagai A, antara 5 yang didakwa itu telah mengambil cuti sakit lebih 2 minggu selepas insiden malang yang melibatkan Allahyarham Zara Qairina pada 16 Julai lalu.
Katanya, ibu kepada pelajar A ini telah menghantar 2 sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan dengan tarikh yang berasingan kepadanya melalui WhatsApp.
Artikel berkaitan : Maklumat Saksi Kanak-kanak Didakwa Bocor Di Media Sosial, Inkues Zara Qairina Terpaksa Ditangguh
Artikel berkaitan : Maklumat Saksi Kanak-kanak Didakwa Bocor Di Media Sosial, Inkues Zara Qairina Terpaksa Ditangguh
Sebab trauma?
Jelas saksi kelapan dalam prosiding inkues Zara Qairina itu berkata, sijil cuti sakit pertama bermula 28 Julai hingga 4 Ogos dan ia dihantar pada 28 Julai sementara sijil cuti sakit kedua bermula 8 Ogos hingga 18 Ogos dan ia dihantar pada tarikh 7 Ogos.
“Pada 11 Ogos, ibu pelajar A menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan minggu itu beliau akan datang ke sekolah untuk mengambil semua barang-barang pelajar A dan berterima kasih kerana (warden) sudi menengok-nengok (memantau) anaknya sepanjang bersekolah di sini.”
Menurut laporan Harian Metro, Azhari ada membuka aplikasi WhatsApp dan membacakan mesej yang dia terima daripada ibu pelajar A saat menjawab persoalan peguam Joan Goh, yang mewakili pelajar A, antara pelajar yang didakwa terlibat dalam kes buli Zara Qairina, pada hari ke-10 prosiding inkues.
Jelas Azhari, beliau tahu bahawa pelajar A ada melihat Zara Qairina diletakkan di tepi rumah warden iaitu di laluan antara bangunan Blok A ke Blok B sebelum ambulans tiba di asrama berkenaan.
Dalam pada itu, Azhari sangkal dakwaan pelajar A keluar dari sekolah kerana trauma. Katanya, pelajar A tidak menunjukkan bahawa dia sedang trauma.
Kata beliau, pengawal keselamatan asrama Linah Mansidong @ Jaliha ada mengambil gambar pelajar A dan seorang lagi rakannya, dilihat pelajar A menunjukkan tanda ‘peace’ dan gambar tersebut diambil ketika kedua-duanya diminta datang ke sekolah itu untuk diambil keterangan.
Goh: Gambar saja boleh tunjuk tidak trauma?
Azhari: Ya. Dia siap ‘peace’ lagi gambar yang pengawal keselamatan ambil.
Semalam, Azhari ada memberitahu pihak mahkamah bahawa pelajar A telah berpindah sekolah beberapa minggu selepas insiden Zara Qairina, namun tidak tahu alasan pemindahan tersebut.
Dalam prosiding hari ini, Azhari berkata ibu kepada Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat ada menceritakan kepada beliau bahawa pelajar A merupakan kawan baik anaknya itu dan tahu semua perkara berkaitan Zara Qairina.
Tambah Azhar, pelajar A ada mengikut Zara Qairina balik ke rumahnya di Sipitang pada 12 Julai selepas program gotong-royong PIBG sekolah.
“Itu yang saya tahu. Mungkin itu yang ibu Zara Qairina anggap pelajar A ini kawan baik Zara Qairina, yang kenal Zara Qairina,” katanya.
Prosiding inkues dihadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung Isnin depan.
Sumber: Harian Metro