Terlalu banyak kes-kes jenayah yang melibatkan individu di bawah usia 18 tahun, menjadikannya salah satu isu yang semakin membimbangkan di negara kita. Mengikut undang-undang Malaysia mana-mana individu berumur bawah 18 tahun masih dikategorikan sebagai kanak-kanak.
Jadi, walaupun seseorang tu berada di Tingkatan Lima dan kelihatan matang dari segi fizikal, mereka sebenarnya masih dilindungi di bawah Akta Kanak Kanak 2001. Namun di sebalik status tersebut, apa yang mengejutkan ialah semakin ramai pelajar sekolah yang sepatutnya berada dalam fasa pembelajaran dan perkembangan diri, kini terlibat dalam perlakuan jenayah berat.
Tapi korang tahu tak yang ada kes di mana seorang pelajar Malaysia pernah terlibat dalam kes cubaan membunuh rakannya sendiri pada usia 16 tahun?
Kalau korang nak tahu cerita di sebalik kes ni, boleh teruskan baca artikel di bawah.
Kehidupan awal Thomas Wei Huang
Thomas Wei Huang merupakan seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Blundell’s School, iaitu sebuah sekolah berasarama penuh berprestij di Devon, England. Difahamkan bahawa dia telah berpindah ke United Kingdom bagi melanjutkan pelajaran di peringkat sekolah menengah dan menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pelajar antarabangsa di sana.
Thomas datang daripada keluarga yang berada, memandangkan Blundell’s School merupakan antara sekolah berasrama penuh elit di United Kingdom dengan yuran tahunan mencecah £45,000. Thomas juga dikatakan mempunyai sorang abang yang turut menuntut pendidikannya di Blundell’s School.
Dia digambarkan sebagai pelajar yang amat menyukai kehidupannya di sekolah tersebut, di mana para pelajar sering berkongsi makanan dan gula-gula dengannya.
Ketika cuti pertengahan penggal, dia dan abangnya biasanya tidak pulang ke Malaysia, sebaliknya menghabiskan masa di rumah keluarga mereka di Battersea, London dan beberapa negara di Eropah, menjelaskan bahawa gaya hidup mereka selaras dengan latar belakang keluarga yang berada.
Artikel berkaitan: Ken McElroy: Kisah Pembuli Kejam Dibunuh Mangsanya Tapi Sampai Sekarang Tak Dapat ‘Pembelaan’ Sebab… – Lobak Merah
Artikel berkaitan: Kronologi Kes Pembunuhan Kadet Zulfarhan Yang Bermula Dengan Kehilangan Sebuah ‘Laptop’ – Lobak Merah
Percaya pada apocalypse
Thomas dikatakan mempunyai kepercayaan terhadap kewujudan apocalypse. Antara filem tontonan dia yang memaparkan watak zombi adalah rancangan televisyen The Walking Dead, menjadikan dia mempunyai ketaksuban terhadap kisah pembunuhan dan tukul besi.
Dia juga percaya bahawa dunia boleh bertukar menjadi ‘the end of the world’, namun rakan-rakannya menganggap bahawa dia cuma bergurau sahaja. Disebabkan dia merasakan zombi adalah makhluk yang ganas, dia turut menyimpan tukul-tukul besi di tepi katilnya atas alasan untuk melindungi dirinya daripada ‘serangan zombi’.
Cubaan membunuh
Malam kejadian Jun 2023, tiada siapa menyangka suasana tenang di asrama Blundell’s School bakal bertukar menjadi detik yang paling mengerikan dalam sejarah sekolah berprestij itu. Thomas yang berusia 16 tahun, tiba-tiba bertindak di luar jangkaan apabila dia mula menyerang dua rakan sebiliknya dengan tukul besi ketika mereka sedang tidur di asrama sekolah tersebut.
Menurut keterangan Thomas kepada polis, dia sebenarnya baru sahaja habis menonton filem seram dan sedang berjalan dalam tidur ketika kejadian berlaku, menyebabkan dia kononnya tidak sedar terhadap perbuatannya.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius termasuk retak pada tengkorak, tulang rusuk patah, kecederaan pada limpa, paru-paru tertusuk serta pendarahan dalaman. Serangan itu turut berlanjutan apabila Thomas menyerang pula seorang guru matematik bernama Henry Roffe-Silverster yang cuba untuk campur tangan selepas mendengar kekecohan dari biliknya sendiri.
Guru tersebut menjelaskan bahawa dia terjaga selepas terdengar bunyi bising dari arah asrama dan bergegas untuk menyiasat. Sebaik saja tiba di lokasi, dia ternampak kelibat seseorang berdiri di dalam bilik sebelum diserang bertubi-tubi di kepala menggunakan tukul besi dan sempat melarikan diri ke koridor dalam keadaan berdarah.
Seorang pelajar lain juga dilaporkan terdengar jeritan guru tersebut dan segera menghubungi talian kecemasan kerana menyangka berlakunya pencerobohan di kawasan asrama. Tidak lama kemudian, dua rakan bilik Thomas ditemui dalam keadaan berlumuran darah di atas katil mereka.
Mempunyai masalah kesihatan mental
Siasatan kemudian mendedahkan bahawa Thomas rupanya memiliki tiga tukul besi jenis ‘claw hammer’ yang disimpan di tepi katilnya. Pendakwa raya menjelaskan, pada malam kejadian, Thomas dikatakan telah menunggu rakan-rakannya lena sebelum melancarkan serangannya.
Thomas turut mengaku telah melakukan perbuatan kejam tersebut namun menafikan tiga pertuduhan cubaan membunuh ke atasnya. Lelaki ini mengatakan bahawa dia mempunyai masalah mental dan ketika kejadian berlaku, dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang berjalan dalam tidur.
Menurut kenyataan, ketika ditahan Thomas berada dalam keadaan takut dan cemas kerana dia mengatakan bahawa satu-satunya pengalaman dia perlu ke balai polis adalah apabila bapanya ditahan atas kesalahan memandu ketika di Malaysia.
Thomas turut disahkan sebagai individu dalam spektrum autisme. Ketika dia memberi keterangan, dia menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk membunuh mana-mana individu.
Saya benar-benar berasa amat menyesal terhadap ketiga-tiga individu itu atas apa yang telah saya lakukan kepada mereka. Saya juga berasa sangat bersalah kepada semua pihak keluarga mereka dan diri mereka sendiri.”
Dihukum penjara seumur hidup
Namun dalam sesi menjatuhkan hukuman, hakim Mrs Justice Cutts memutuskan bahawa Thomas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 12 tahun sebelum layak untuk dipertimbangkan mendapat parol.
Hakim juga menegaskan bahawa dia merupakan seorang yang bijak, sedar sepenuhnya bahawa perbuatannya boleh membawa maut dan disifatkan sebagai individu yang berisiko tinggi untuk mengulangi perbuatan ganas tersebut pada masa hadapan.
Terdahulu, identiti Thomas ini tidak boleh didedahkan ekoran dia masih di bawah umur ketika perbicaraan dijalankan. Namun setelah mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya, sekatan laporan ditarik balik dan namanya kini boleh disiarkan secara terbuka.
Sumber: Scoop, Sky News, The Guardian