Saksi kelapan inkues kematian remaja Zara Qairina Mahathir memaklumkan sebanyak 15 helaian kertas daripada diari arwah dijumpai ketika memeriksa rak buku di dalam kelasnya.
Ketua warden asrama sekolah, Azhari Abd Sagap, 31, memberitahu kepada Mahkamah Koroner hari ini bahawa beberapa diari dan sebuah buku latihan milik arwah turut ditemui oleh guru sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Katanya dua diari yang masing-masing berwarna hijau, ungu dijumpai di dalam lokar Zara Qairina sekitar jam 11.15 pagi 16 Julai lalu.
Artikel berkaitan: Ibu Zara Qairina Tolak Bedah Siasat Walaupun Sudah Diberi Penjelasan – Saksi
Artikel berkaitan: Saksi Dakwa Zara Qairina Dituduh Curi Duit Sebelum Kejadian
Manakala sebuah lagi diari berwarna perang serta sebuah buku latihan dijumpai ketika membantu mengosongkan lokar arwah di asrama pada 17 Julai lalu.
Azhari telah mengarahkan Cikgu Miswati menyusun barangan milik Zara Qairina serta meletakkannya di dalam bilik isolasi di tingkat dua bangunan asrama, selepas ibu arwah memaklumkan kepada beliau mengenai hasrat untuk mengambil barangan anaknya pada hari sama.
Katanya lagi, buku-buku terbabit kemudiannya diserahkan kepada Cikgu Yuslina untuk beliau serahkan kepada pegawai penyiasat pada 18 Julai.
Pada 19 Julai, Cikgu Yuslina menyerahkan 15 helai muka surat daripada diari Zara Qairina yang dijumpai sekitar jam 8 pagi ketika memeriksa rak buku di dalam kelas Zara.
“Saya kemudian menyerahkan 15 helai muka surat itu kepada Inspektor Wong pada jam 3 petang hari sama.
“Saya juga menyerahkan dua buku latihan milik Zara, iaitu Bahasa Melayu dan Sains, atas permintaan pihak polis,” katanya.
Sumber: Berita Harian