“Relevan lagi ke?” – Kenali Kawasan Rukun Tetangga, Rupanya Sudah 50 Tahun Jaga Kejiranan Kita

1 day ago 11

Kalau korang membesar di Malaysia, besar kemungkinan pernah ternampak papan tanda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di kawasan rumah, atau dengar cerita jiran pasal ‘rondaan malam’.

Tahun ini, KRT meraikan ulang tahunnya yang ke-50 iaitu setengah abad menjaga keamanan dan keharmonian kejiranan kita.

Sebagai simbolik, Menara Kuala Lumpur disinari cahaya biru dan emas selama tiga malam berturut-turut, dari 17 hingga 19 September 2025.

Penyalaan khas ini juga dijadikan sebagai tanda penghargaan buat ribuan sukarelawan yang menjadi tulang belakang KRT di seluruh negara kita.

krt

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bermula pada 29 Ogos 1975 apabila Allahyarham Tun Abdul Razak, iaitu Perdana Menteri ketika itu, melancarkan Skim Rukun Tetangga di Kampung Kassipilay, Kuala Lumpur.

Memetik panduan pengurusan dan pentadbiran KRT, penubuhan ini dibuat berikutan berkuatkuasanya Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 di bawah Ordinan Darurat 1969, sebagai salah satu usaha pasca peristiwa 13 Mei untuk mengukuhkan perpaduan dan keselamatan di peringkat komuniti.

Pada peringkat awal, skim ini memberi tumpuan kepada keselamatan kawasan kediaman melalui rondaan dan penglibatan langsung komuniti. Menjelang tahun 1983, pelaksanaanya disusun semula untuk menekankan semangat kejiranan, dimana skim ini diperluaskan ke Sabah pada tahun 1985, manakala di Sarawak pada tahun 1988.

Pada tahun 2001 pula, konsep pembangunan komuniti diperkenalkan bagi memperkasakan komuniti menghadapi cabaran gaya hidup moden, dan transformasi besar dilaksanakan pada 2010 dengan Model Transformasi Rukun Tetangga yang berpaksikan lima teras iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup.

Namun setelah Ordinan Darurat dimansuhkan pada tahun 2011, rangka undang-undang KRT dipindah menjadi Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) yang berkuat kuasa pada 22 Jun 2012.

Perkembangan terus berlaku apabila pada 10 Mac 2021, Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

Selaras dengan itu, kerajaan memperkenalkan Pelan Permerkasaan Kempimpinan Komuniti Rukun Tetangga serta konsep Gerak Kerja KRT, iaitu Sejahtera, Selamat, Bersih dan Indah, Sihat, yang menjadi kerangka baru dalam menggerakkan peranan KRT secara lebih menyeluruh dan relevan dengan cabaran semasa.

Artikel Berkaitan: Jiran Tak Puas Hati Parking Diambil, ‘Block’ Kereta Sampai Jalan Jadi Satu ‘Lane’ – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Sekali Lagi ‘Viral’ Sebab Tak Kena Banjir, Netizen Persoal Kenapa Rumah Lain Tak Contohi Rumah Ini – Lobak Merah

Peranan KRT

Peranan KRT juga menjadi tunjang utama dalam mengukuhkan komuniti. Sejak ditubuhkan, KRT berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi, selain menjadi agen perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

Antara tugas utamanya adalah menjalankan aktiviti yang boleh meningkatkan kejiranan, muhibah, keselamatan, kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti. Jawatankuasa KRT juga menerima maklumat berkaitan konflik masyarakat, memerhati serta menyiasat isu berbangkit, sebelum ia disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Bagi aspek keselamatan, KRT diberi mandat untuk mengambil langkah wajar bagi membolehkan penduduk melindungi diri daripada ancaman jenayah atau bencana. Pada masa yang sama, KRT turut berperanan sebagai pengantara dalam menyelesaikan pertikaian atau perselisihan antara ahli komuniti secara harmoni.

Objektif utamanya sangat jelas di mana KRT mahu membantu pihak berkuasa seperti polis mencegah kegiatan jenayah dan masalah sosial, serta memastikan kawasan kejiranan sentiasa aman, sejahtera dan harmoni.

Dalam kata lain, KRT kini dijadikan sebagai platform rasmi untuk menggerakkan masyarakat agar hidup lebih selamat, teratur dan bersatu.

Relevan lagi ke hari ni?

jiran krt

Persoalan ini sangatlah betul, ekoran kerana hidup zaman sekarang yang semakin sibuk, membuatkan kita kadang-kadang tak kenal pun jiran kita.

Tapi di sinilah KRT memainkan peranannya dengan menjadi ‘jambatan’ antara jiran-jiran.

Bayangkan bila ada kes kecemasan, seperti rumah terbakar atau banjir. Selalunya, sukarelawan KRT yang akan menjadi orang pertama turun padang untuk bantu pindahkan mangsa serta sediakan pusat pemindahan, di samping menguruskan bantuan makanan bagi mangsa.

Pengarah Perpaduan Negeri Perlis, Hanita Ahmad berkata KRT kini menjadi ruang interaksi masyarakat merentas agama, budaya dan ideologi politik melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, dialog keharmonian dan sukan komuniti.

“Peranan KRT bukan sahaja relevan, tetapi semakin diperlukan untuk memastikan agenda perpaduan negara terus subur.” katanya.

Beliau amat menekankan peranan Skim Rondaan Sukarela (SRS) kerana ia boleh membantu dalam meningkatkan rasa selamat dalam kalangan penduduk. Malah, penglibatan belia juga semakin ketara dengan pendekatan baharu seperti sukan komuniti, e-sukan dan projek inovasi sosial, memetik laporan daripada The Star.

Pencapaian KRT

Sehingga kini, terdapat 8,586 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara yang merangkumi lapan bidang tumpuan utama, iaitu Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan, Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya serta Daya Cipta.

Selepas 50 tahun, KRT kekal sebagai mercu tanda perpaduan masyarakat majmuk, penggerak komuniti progresif, dan nadi kesejahteraan rakyat.

Menurut laporan The Sun, Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud berkata hampir 90 peratus daripada 8,586 KRT ini kekal aktif menggerakkan pelbagai program komuniti.

“Setiap KRT menerima RM6,000 setahun bagi operasi dan perlu melaksanakan sekurang-kurangnya lapan aktiviti untuk mengekalkan status aktif. Inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi juga membuka peluang ekonomi,” katanya semasa sambutan Jubli Emas KRT peringkat negeri Kelantan di Kompleks Perpaduan Machang.

Beliau menambah lagi dengan terdapat kira-kira 10 peratus KRT masih belum aktif, namun angka itu menunjukkan penurunan hasil sokongan berstruktur seperti kaunseling dan bimbingan sebelum sebarang penarikan dana dibuat.

Beliau juga amat menggalakkan KRT untuk meneroka projek ekonomi berasaskan komuniti seperti pertanian kecil-kecilan atau pengeluaran makanan.

Jadi bila tahun 2025 ini kita dapat menyaksikan KRT menyambut ulang tahunnya yang ke-50, ia menandakan peranan dan sumbangannya masih berkesan serta relevan hingga ke hari ini.

Walaupun sudah 50 tahun kewujudannya, peranannya masih terasa iaitu melalui penjagaan keamanan kawasan kejiranan, memupuk perpaduan, sehinggalah dalam membantu komuniti ketika berlakunya musibah.

Dalam dunia moden yang serba pantas ini, KRT kekal menjadi ruang untuk kita kembali mengenali jiran, bersama-sama membina kejiranan yang lebih berharmoni.

Sumber: JPNIN, TvSarawak

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |