“Pusat Penempatan Sementara (PPS) disediakan untuk mangsa tanah runtuh”- Ahli Parlimen Papar

11 hours ago 4

Bencana tanah runtuh yang menimpa Sabah sejak semalam telah meragut 12 nyawa secara keseluruhan.

Susulan tragedi tanah runtuh yang melanda Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul, kerajaan segera mengatur penempatan sementara bagi keluarga yang terkesan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, hasil perbincangan bersama  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, langkah bantuan kepada keluarga mangsa akan disusun secara teratur dan berkesan.

Beliau berkata, selain Bantuan Wang Ihsan (Kematian) berjumlah RM10,000 yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam, kerajaan turut menyediakan penempatan sementara bagi keluarga terjejas.

“Buat sementara ini, kita tempatkan kedua-dua keluarga di balai raya Kampung Mook dan Kampung Marahang Tuntul yang dijadikan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS),” katanya.

Artikel Berkaitan: Hanya Mampu Berpelukan Ketika Rumah Tiba-tiba Bergoyang – Mangsa Terselamat Kejadian Tanah Runtuh

Artikel Berkaitan: Pekerja Kuari Sempat Lompat Keluar Tapi Tertimbus Dalam Runtuhan Batu

IMG 20250916 WA0056

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memaklumkan, perbincangan bersama keluarga terjejas bersama pihak berkuasa akan diadakan bagi prosedur penempatan sementara sama ada di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah sewa, sementara kawasan kediaman asal berhampiran cerun bukit dinilai tahap risikonya.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan mereka sementara menunggu pembaikan rumah selesai. Kita akan bantu meringankan beban yang ditanggung oleh mereka,” katanya.

Perkara itu dimaklumkan beliau ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Lok Kawi Height, hari ini.

Armizan juga memaklumkan, penilaian risiko di lokasi kejadian akan dilakukan segera bagi menilai tahap keselamatan kawasan berkenaan.

Untuk makluman, sejak Jumaat lalu, bencana tanah runtuh yang berlaku di Sabah telah meragut 12 nyawa, termasuk lima kanak-kanak, dengan 11 kematian direkodkan semalam manakala satu kematian pada hari pertama kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan tujuh mangsa, termasuk empat kanak-kanak, ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam sekitar jam 9.15 pagi semalam.

Di Papar, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz memaklumkan bahawa dua mangsa ditemukan maut selepas rumah mereka di Kampung Mook dihempap tanah runtuh pagi semalam.

Mohd Pisar turut memaklumkan, dalam insiden berasingan, dua lagi mangsa ditemukan maut selepas tertimbus akibat tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul.

Mangsa terakhir yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh menghempap rumah di Kampung Marahang Tuntul, iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, akhirnya ditemukan pada jam 8.45 malam Isnin.

Sumber: Berita Harian , Sinar Harian 

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |