Punca Kemalangan Lori FRU Korbankan 9 Anggota Pada Mei Lalu Diketahui

1 day ago 10

Lebihan muatan yang melampau, kelemahan dalam kawalan operasi, serta ketiadaan ciri keselamatan asas pada lori ‘tipper’ dikenal pasti sebagai antara punca kemalangan maut yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.

Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mendapati bahawa faktor penguatkuasaan yang terhad turut mewujudkan persekitaran berisiko tinggi sehingga membawa kepada tragedi berkenaan.

Artikel berkaitan: 4 Anggota FRU Terlibat Kemalangan Dibenar Keluar ICU

Artikel berkaitan: “Al-fatihah..” – Tragedi Berdarah Karak 1990 Libatkan Anggota FRU Kembali Berulang 

Ketika kejadian, lori ‘tipper’ tersebut membawa muatan batu kerikil dengan Berat Dengan Muatan (BDM) 40,960 kg iaitu 70.67 peratus lebih berat daripada had maksimum 24,000 kg yang dibenarkan.

LORI FRU LAPORAN 2

Laporan setebal 156 halaman itu, yang diterbitkan lebih lima bulan selepas kejadian, turut mengemukakan cadangan keselamatan kepada pihak berkaitan.

“Kemalangan ini berpunca daripada gabungan faktor teknikal, manusia, organisasi, serta jurang dalam dasar dan penguatkuasaan,” tulisnya.

Lori FRU terlibat berada di posisi kelima dalam satu konvoi tujuh kenderaan yang terdiri daripada empat lori, dua SUV dan sebuah bas dalam perjalanan menuju ke Ipoh. Pada masa sama, lori ‘tipper’ bernombor pendaftaran AKL4674 datang dari arah bertentangan menuju ke Teluk Intan dengan hanya seorang pemandu.

“Jalan Chikus – Sungai Lampam adalah Jalan Negeri bernombor A122… Di kawasan berhampiran lokasi perlanggaran, terdapat simpang tiga serta lorong tambahan (lorong membelok) menghala ke Ipoh melalui laluan A149,” tulis laporan itu.

Lori ‘tipper’ itu dilaporkan memasuki laluan bertentangan yang sedang digunakan konvoi FRU sebelum bertembung dengan lori FRU tersebut. Impak kuat menyebabkan kedua-dua lori terbalik ke sisi kiri dan berhenti dalam keadaan mengiring.

Pasukan petugas khas turut mendapati bahawa rekod rasmi menunjukkan lori ‘tipper’ membawa muatan batu kerikil dengan BDM 40,960 kg, bukan sahaja melanggar Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010 dan Kaedah 89 Kaedah-Kenderaan Bermotor, tetapi juga menjejaskan prestasi pemanduan secara ketara.

Menurut laporan, pengurusan tenaga kinetik amat penting dalam keselamatan jalan raya. Muatan lebih tinggi meningkatkan tenaga impak ketika perlanggaran, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan serius atau kematian.

“Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 km/j menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ, hampir dua kali ganda,” tulisnya.

Selain itu, lebih muatan memberi kesan langsung terhadap keupayaan membrek dan kestabilan kenderaan, terutama ketika pemandu berdepan situasi kecemasan.

Pemeriksaan fizikal statik menunjukkan komponen tayar, brek dan suspensi lori berada dalam keadaan baik, namun fungsi stereng tidak dapat disahkan sepenuhnya akibat kerosakan teruk dari kemalangan. Ukuran kenderaan dan pagar kargonya pula mematuhi Pelan Teknikal yang diluluskan.

Namun begitu, lori ‘tipper’ didapati membawa muatan yang tidak mengikut syarat melanggar Seksyen 57(1)(b)(iii) APAD 2010 kerana ia sepatutnya hanya dibenarkan membawa muatan arang batu.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |