Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang siak masjid ketika menumpang kereta suspek di Bukit Sentosa, Rabu lalu. Kejadian itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang bertugas di sebuah masjid di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin, berkata laporan diterima daripada mangsa pada jam 3.41 petang hari sama. Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menaiki kereta suspek dari stesen bas Bukit Sentosa ke masjid untuk bertemu rakannya. Mangsa mengenali suspek sejak Disember tahun lalu kerana sering menumpang di masjid tersebut.

Menurut beliau, suspek disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa ketika berada di dalam kenderaan. Siasatan turut mendedahkan lelaki berkenaan menghantar mesej berbaur lucah ke telefon bimbit remaja itu selepas kejadian.
Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menahan suspek di rumahnya di Bukit Sentosa pada jam 12.30 tengah malam. Semakan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sumber: Buletin TV3
Baca: Pelajar Tingkatan 2 Direman 4 Hari, Didakwa Lakukan Amang Seksual Kepada Rakan Sekolah