Flat Warga Asing Hulu Langat

Hangat di media sosial susulan tular video yang didedahkan oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin yang memaparkan sebuah struktur kediaman seperti flat empat tingkat yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.

Video itu menunjukkan kediaman bertingkat dengan laluan koridor ditutup bumbung zink, struktur dinding batu bata yang tidak disimen dengan sempurna, di samping sambungan paip air dan wayar elektrik yang mencurigakan.

Menurut Pak Azad, ketika itu dia secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan sekitar sebelum Ramadan lalu.

Sudah pernah dibangkitkan

Ekoran isu tersebut mencetuskan rasa kurang senang masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz bersuara tentang kewujudan flat terbabit berpunca daripada tindakan pemilik tanah yang membenarkan warga asing membina dan mendiami lokasi itu.

Menurut beliau, isu terbabit pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi berkaitan.

“Pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi sudah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.

“Namun, punca utama ialah tindakan pihak pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik.”

Katanya, pembinaan terbabit bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan, turut menyukarkan usaha agensi kerajaan untuk menangani isu itu secara berkesan.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutan isu ini.

“Atas sebab itu, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membangkitkan semula perkara itu dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil terhadap semua pihak yang terbabit.

Menerusi maklumkat yang dikongsikan, dipercayai sebanyak 400 individu etnik Rohingya membuat dan membina perkampungan di lokasi sama.

717907752 1569384491410100 8937587825104290001 NScreenshot

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.