Usia sememangnya musuh utama bagi setiap atlet, tidak kira betapa agung pun nama mereka di atas kertas. Bagi peminat tegar bola sepak dunia, melihat susuk tubuh Cristiano Ronaldo bergelut di atas padang dalam aksi pembukaan Kumpulan K Piala Dunia di Houston, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mendatangkan satu rasa yang cukup berbeza.
Ia bukan lagi sekadar tentang kegagalan mengutip tiga mata, tetapi sebuah kesedaran bahawa fasa senja seorang legenda kini semakin hampir.
Realiti Perit: Sekadar Seri Menentang Congo
Keputusan terikat 1-1 menentang Congo menyaksikan Portugal terpaksa akur berkongsi mata. Di sebalik jaringan tandukan pemain muda, Joao Neves yang meletakkan Portugal di depan, kegagalan mengekalkan momentum membolehkan Yoane Wissa menyamakan kedudukan buat pasukan lawan.
Namun, apa yang paling mencuri tumpuan adalah kelibat Ronaldo. Penyerang Al-Nassr itu kelihatan ‘mati kutu’ malah gagal melakukan sebarang cubaan gol (shot attempt) sepanjang separuh masa pertama. Beberapa peluang keemasan yang terlepas di separuh masa kedua terus memanjangkan kemarau gol peribadinya dalam kejohanan utama antarabangsa kepada 10 perlawanan berturut-turut.
@433Class, on and off the pitch 👏 🎥 @Boumé Sama
Isyarat badannya yang terus melangkah longlai ke dalam terowong stadium sebaik wisel penamat ditiupkan memaparkan rasa hampanya terhadap diri sendiri.
Artikel berkaitan: Selepas 2 Orang Anak Bersama, Cristiano Ronaldo Akhirnya Lamar Georgina
Artikel berkaitan: Dari Messi Ke Ronaldo, Piala Dunia 2026 Pentas Akhir Buat 4 Ikon Bola Sepak Ini
Di Sebalik Kekecewaan: Rekod Dunia Yang Sukar Ditandingi
Meskipun dikritik hebat oleh sebahagian netizen yang menganggap zamannya sudah berakhir, magis nama ‘CR7’ dalam buku sejarah bola sepak tidak pernah padam. Langkahnya di atas padang Houston itu sebenarnya telah memahat beberapa pencapaian monumental:
- Menyamai Lionel Messi: Ronaldo kini berkongsi rekod dunia sebagai pemain yang membuat penampilan dalam enam edisi Piala Dunia yang berbeza.
- Pemain Tertua Portugal: Beliau secara rasmi memotong rekod bekas rakan sepasukan dan benteng pertahanan legenda, Pepe, yang sekadar menyaksikan perlawanan dari bangku penonton.
- Pemain Outfield Kedua Tertua Sejarah: Pada usia 41 tahun, beliau kini hanya berada di belakang ikon Cameroon, Roger Milla, yang menetapkan tanda aras pada usia 42 tahun ketika Piala Dunia 1994.
“Tiada apa yang kurang, ini bola sepak. Portugal boleh menang, boleh juga kalah, heads up dan fokus pada perlawanan seterusnya,” tulisnya ringkas di Instagram.
Karier Agung Yang Menghampiri Garis Penghujung
Melihat situasi semasa Ronaldo hari ini, ia adalah satu kontras yang sangat besar jika dibandingkan dengan zaman kemuncak kariernya. Beliau merupakan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa, dan figura yang telah memenangi hampir segalanya di peringkat kelab bersama Manchester United, Real Madrid, dan Juventus.
Namun, Piala Dunia kekal menjadi satu-satunya trofi agung yang belum pernah digenggamnya. Keinginan membara untuk melengkapkan status Greatest of All Time (GOAT) inilah yang mendorong beliau untuk terus berlari di usia 41 tahun, walaupun kudratnya jelas tidak lagi sekuat dahulu.
Ujian Getir Menanti Skuad Roberto Martinez
Laluan Portugal selepas ini sememangnya berada di hujung tanduk jika mereka gagal bangkit dengan segera. Di bawah kendalian Roberto Martinez, skuad Selecao das Quinas kini kesuntukan masa untuk merombak semula strategi.
Ujian seterusnya buat Portugal adalah menentang Uzbekistan satu perlawanan yang wajib dimenangi bagi menghidupkan peluang sebelum mereka dijadualkan menutup aksi peringkat kumpulan menentang gergasi Amerika Selatan, Colombia.
Sumber: Yahoo! News, BBC

10 hours ago
10






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















