Penduduk Terjejas Letupan Gas Putra Heights Tuntut Keadilan, Lantik Tommy Thomas Sebagai Peguam Utama

5 hours ago 7

Enam bulan selepas tragedi letupan gas di Putra Heights, seramai 36 penduduk kini tampil menuntut keadilan.

Mereka telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap lima pihak, termasuk Petronas Gas Berhad, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Kerajaan Malaysia.

Menariknya, penduduk turut melantik bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai peguam utama bagi mengetuai perjuangan mereka di mahkamah.

“Ini bukan sekadar kes undang-undang. Ini rayuan kami untuk keadilan. Kami mahu suara kami didengari,” kata wakil penduduk, Loh Poh Heng.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di kawasan perumahan tersebut hari ini, lapor Sinar Harian.

Artikel berkaitan: Laporan Hasil Siasatan Insiden Putra Heights Bakal Dibentangkan Isnin Ini – MB Selangor

Artikel berkaitan: 200 Penduduk Terjejas Dalam Insiden Putra Heights Pertimbang Untuk Ambil Tindakan Undang-undang

Putra Heights

Beliau berkata, tragedi pada 1 April lalu itu berpunca daripada kecuaian manusia dan sepatutnya boleh dielakkan jika langkah keselamatan diambil lebih awal.

“Paip penghantaran gas diletakkan terlalu hampir dengan rumah kami, tapi keselamatan tak dijaga. Ramai penduduk masih tiada tempat tinggal kekal. Ada yang menumpang rumah keluarga, ada yang duduk di penempatan sementara,” katanya.

Letupan besar itu menyebabkan kebakaran marak selama lebih tujuh jam sebelum berjaya dipadamkan, memusnahkan 87 buah rumah sepenuhnya dan menjejaskan lebih 500 penduduk.

“Rumah kami hilang, kehidupan porak-peranda, dan ramai masih trauma. Parut di badan boleh pudar, tapi luka di hati takkan pernah sembuh,” luahnya.

Menurutnya lagi, selepas kejadian, penduduk mendakwa tidak diberi maklumat jelas tentang siasatan atau kerja-kerja pembaikan yang dijalankan.

putra heightsTommy Thomas

Melalui tindakan sivil tersebut, penduduk menuntut pampasan atas kerugian harta benda, kesihatan dan ketenangan jiwa, selain menuntut ketelusan dan keadilan daripada pihak berkuasa.

“Kami cuma harap tak ada lagi komuniti lain yang perlu lalui apa yang kami alami,” tambah Poh Heng.

Tragedi letupan gas Putra Heights yang berlaku pada pagi kedua Aidilfitri itu telah menjejaskan 118 keluarga dan 235 premis, termasuk rumah serta kedai dengan kerugian dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |