inovasi kubis ungu ciptaan pelajar SMK

Tiga orang pelajar sebuah sekolah menengah di negeri Kelantan baru-baru ini berjaya mencipta sejarah apabila mereka mencipta produk inovasi berasaskan kubis ungu yang membolehkan mereka mengesan kewujudan pewarna tiruan dalam minuman dan makanan.

Menurut laporan Sinar Harian, ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Maher, Kota Bharu itu telah mencipta ‘Colourguard’ yang dihasilkan daripada air rebusan kubis ungu.

Difahamkan, air rebusan kubis ungu itu mengandungi pigmen semula jadi antosianin yang boleh menjadi penunjuk pH semula jadi.

Ia akan bertukar warna apabila bertindak balas dengan bahan pewarna tiruan dalam sampel minuman atau makanan.

Artikel Berkaitan: “Memang serba boleh” – Ramai Tak Tahu, Ini 5 Benda Yang Korang Boleh Buat Guna MyKad

Artikel Berkaitan: Subsidi Petrol RON95 Tidak Terhad MyKad Sahaja, Pelbagai Mekanisme Disediakan – Armizan 

Menurut pelajar Muhammad Ameer Jamaludin yang juga merupakan Ketua Kumpulan Projek Colourguard, pasukan mereka mendapat ilham untuk projek tersebut apabila sedar bahawa pewarna tiruan banyak memberi kesan negatif kepada kesihatan.

Difahamkan lagi, tiga orang pelajar Tingkatan Tiga sekolah tersebut telah terlibat dalam Festival of Idea@Kelantan yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan pada Selasa lalu.

Inovasi ciptaan pasukan SMK Dato’ Ahmad Maher itu telah meraih pingat emas Anugerah Kluster Terbaik bagi Kluster Sains kategori sekolah menengah.

Pasukan tersebut turut dianggotai oleh dua lagi pelajar sekolah itu iaitu Syed Adheem Syed Khairudin dan Aiman Hakim Najeli yang juga berusia 15 tahun iaitu pelajar Tingkatan Tiga.

Syabas kita ucapkan atas inovasi ciptaan ketiga-tiga pelajar hebat inI! 

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.