Seorang pelajar tingkatan satu memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia ternampak seorang individu memakai baju sukan bertulis “Hanafi” mengurung diri dalam tandas asrama sekitar jam 2.35 pagi pada 16 Julai lalu hanya beberapa jam sebelum Zara Qairina Mahathir ditemukan meninggal dunia.
Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-22, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-28 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut peguam Joan Goh, yang mewakili seorang pelajar dalam kes buli melibatkan Zara, maklumat tersebut penting kerana ia berlaku dalam tempoh paling hampir dengan kejadian tragis itu.
Artikel berkaitan: Inkues Zara Qairina: Saksi Dakwa Nampak Zara Terj*n Dari Aras 2
Artikel berkaitan: “Ada yang cakap b*doh padanya” – Saksi Sahkan Zara Qairina Jumpa ‘Circle Nineteen’
“Ketika saksi bangun untuk mandi sekitar jam 2.35 pagi seperti kebiasaannya untuk mengelak kesesakan tandas dia menuju ke tandas di tingkat tiga dan menolak pintu tandas pertama yang tertutup.
Namun pintu itu ditolak semula dari dalam, seolah-olah ada seseorang di dalamnya sedang duduk menyandar di pintu dan memakai baju sukan bertulis ‘Hanafi’,” kata Goh kepada pemberita selepas prosiding.
Saksi bagaimanapun tidak sempat melihat wajah individu berkenaan, hanya mengecam baju yang dipakai. Ketika hampir selesai mandi kira-kira jam 3 pagi, saksi mendengar bunyi pintu tandas tersebut dibuka sebelum individu itu keluar.
Sementara itu, peguam Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu Zara berkata, saksi sama turut memberitahu mahkamah bahawa beberapa guru pernah memberitahu pelajar perempuan di musolla bahawa Zara bukan mangsa buli, sebaliknya meninggal dunia akibat bunuh diri.
“Apabila ditanya sama ada guru pernah menyatakan kes Zara bukan kes buli tetapi bunuh diri, saksi menjawab ‘ya’. Malah guru dikatakan menggunakan ungkapan ‘dia tidak tahan sudah tu’,” katanya.
Rizwandean turut memaklumkan bahawa saksi pernah melihat pelajar junior diarahkan oleh pelajar senior untuk melakukan pelbagai tugas seperti menyeterika pakaian dan mengambil air panas.
“Saksi juga menyatakan bahawa mesyuarat aras (MA) lazimnya diadakan di bilik musolla selepas Maghrib atau Isyak, dan dia pernah mendengar pelajar senior mengeluarkan kata-kata kesat semasa mesyuarat tersebut,” tambahnya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar jam 4 pagi, 16 Julai. Prosiding inkues akan bersambung pada Selasa ini.
Sumber: Harian Metro

17 hours ago
7












![[VIDEO] Ramai Terharu Lihat Pakcik Tertunduk Sedih, Individu Borong Karipap Frozen Dijual Tepi Jalan](https://lobakmerah.com/wp-content/uploads/2025/10/pakcik-karipap-frozen-sg-isap.png)


















:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















