“Orang awam pula jadi mangsa” – Ramai Orang Terb*nuh, Ini 5 Isu Sudan Yang Korang Perlu Ambil Tahu

1 day ago 10

Negara Sudan kini menjadi tumpuan dunia ekoran di bandar el-Fasher yang terletak di utara Darfur dilaporkan lebih ribuan nyawa telah terkorban setelah pasukan Rapid Support Forces (RSF) mengambil alih negara itu.

Menurut Al Jazeera, PBB telah mencatatkan sekitar 40,000 kematian dan 12 juta orang kehilangan tempat tinggal sejak negara itu dilanda perang saudara dua setengah tahun lalu.

Isu yang melanda di Sudan bukanlah perkara yang baru, malah ia telah berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu dan apabila keadaan semakin meruncing, orang awam pula yang terus menjadi mangsa dalam konflik perebutan kuasa di Sudan.

Sebelum kita fahami apa yang berlaku di Sudan, mari kita kenali negara itu dahulu.

Di manakah Sudan terletak? 

sudan bbc

Sudan terletak di timur laut Afrika dan negara ini merupakan antara negara terbesar di benua Afrika. Negara ini bersempadan dengan tujuh negara lain dan Laut Merah, di samping Sungai Nil yang mengalir melaluinya, menjadikannya lokasi strategik bagi kuasa luar.

Penduduk Sudan majoritinya beragama Islam dan bahasa rasmi negara ini adalah Arab dan Inggeris. Sebelum perang tercetus, Sudan merupakan salah satu negara termiskin di dunia walaupun ia merupakan negara pengeluar emas.

Pada tahun 2022, rakyatnya yang berjumlah 46 juta orang itu hanya mampu untuk memperoleh pendapatan tahunan sekitar $750 seorang iaitu bersamaan dengan RM3,560 sahaja.

Tapi korang kena faham juga bahawa Sudan pernah terpisah pada tahun 2011 di mana Sudan Selatan telah merdeka selepas berdekad-dekad berperang untuk mencapai kebebasan. Pemisahan ini secara langsung mengubah lanskap politik dan ekonomi negara Sudan.

So, macam mana negara yang pernah mencatat negara termiskin di dunia ni boleh dihimpit dengan pembunuhan beramai-ramai dan kekacauan yang semakin membimbangkan ni?

Artikel Berkaitan: Lepas UAE & Bahrain, Kini Sudan Pula Ikut Jejak Iktiraf Israel Sebagai Sebuah Negara – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Tragedi Pembunuhan Beramai-Ramai di Sudan: Lebih 500 Terbunuh & 70 Dirogol, Ini Yang Kami Tahu Setakat Ini! – Lobak Merah

1. Kejatuhan Omar Al-Bashir

omar al bashir

Omar Al-Bashir telah memerintah Sudan lebih daripada 30 tahun iaitu dari tahun 1989 sampailah 2019. Sepanjang Al-Bashir memerintah, beliau mengamalkan rejin yang kukuh dan menindas dengan menggunakan pasukan tentera untuk mengawal negara.

Di bawah pemerintahannya, Sudan mengalami banyak perubahan meskipun banyak juga masalah dan konflik dalaman timbul. Salah satu isu yang paling dikenali sepanjang pimpinan Al-Bashir ini adalah penglibatannya dalam Perang Darfur yang bermula pada tahun 2003.

Pada tahun 2003, kerajaan Sudan telah melancarkan operasi di Darfur untuk melawan pemberontak tempatan. Namun Al-Bashir tidak menggunakan tentera rasmi, malah menggunakan pasukan militia yang dikenali sebagai Janjaweed. Janjaweed pada waktu itu pula diketuai oleh Mohamed Hamdan Dagalo yang juga dikenali sebagai Hemedti.

Pasukan Janjweed ni sangat terkenal dengan kekejaman di mana mereka dituduh telah membuat pembunuhan beramai-ramai terhadap masyarakat etnik tertentu yang menyebabkan kematian melebihi 300,000 orang dan berjuta-juta orang lagi menjadi pelarian.

Namun pada tahun 2019, selepas berbulan-bulan Sudan menghadapi kesulitan ekonomi dan ketidakpuasan terhadap pemerintahan al-Bashir, akhirnya dia digulingkan oleh tenteranya sendiri.

2. Perebutan kuasa antara dua jeneral 

sudan jeneral

Selepas penggulingan al-Bashir, al-Burhan terus naik dan menggantikan al-Bashir sebagai pemimpin sementara. Kemudian, dia melantik Hemedti yang dahulunya ketua Janjaweed menjadi timbalan ketua Majlis Kedaulatan, yang mengubah nama Janjaweed kepada Rapid Support Forces (RSF)

Pada awalnya, memang al-Burhan dan Hemedti bekerjasama dalam mengurus pentadbiran negara. Namun tak lama dari itu, hubungan mereka mula rentak apabila muncul cadangan untuk menggabungkan pasukan tentera RSF ke dalam tentera rasmi Sudan yang dikenali sebagai Sudan Armed Forces (SAF).

Persoalan siapa yang akan mengetuai pasukan gabungan itu menjadi punca utama pertikaian antara dua jeneral itu. Kedua-dua enggan melepaskan kuasa dan kekayaan yang mereka miliki ini menyebabkan ketegangan tersebut berakhir dengan pertempuran yang tercetus di Khartoum pada 15 April 2023.

3. Sudan terbahagi kepada dua 

sudan e1761879537195

SAF ini diketuai oleh al-Burhan dan kini berpangkalan di Port Sudan dengan menguasai bahagian timur dan utara negara. Tentera SAF ini dikatakan mendapat sokongan daripada beberapa negara Arab seperti Mesir.

Manakala RSF yang diketuai oleh Hemedti ini menguasai hampir keseluruhan kawasan barat Sudan termasuklah wilayah Darfur dan Kordofan.

Pada Oktober 2025, RSF telah tawan bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara selepas mengepungnya selama hampir 18 bulan. Kejatuhan bandar ini menandakan SAF kehilangan kubur terakhir di wilayah barat, menjadikan Sudan kini secara tidak rasmi telah terbahagi kepada dua iaitu timur di bawah SAF dan barat pula di bawah RSF.

4. Kekejaman terhadap orang awam 

sudan perang

Kejatuhan El-Fasher membawa tragedi besar untuk rakyat Sudan kerana lebih daripada 1.2 juta penduduk telah terperangkap di bandar itu tanpa bekalan makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan. Menurut Al Jazeera, PBB telah mendedahkan bahawa banyak kawasan awam seperti hospital dan pusat perlindungan telah diserang.

Hampir 500 orang dilaporkan terbunuh di Hospital Saudi di bandar itu dan itulah satu-satunya tempat di mana pesakit, petugas kesihatan dan orang awam melarikan diri berlindung di situ. Manakala lima lagi sukarelawan Bulan Sabit Merah (IRFC) terbunuh ketika menjalankan misi rasmi.

Pasukan RSF juga dilaporkan menahan ratusan orang lain, di samping banyak laporan yang mengatakan mereka juga melakukan keganasan seksual terhadap wanita sepanjang konflik berlaku.

Yale Humanitarian Research Lab telah menunjukan rakaman video serta imej satelit yang membuktikan bahawa memang terdapat kegiatan pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan dan kawasan tersebut ibarat seperti kubur yang besar.

Rakyat Sudan juga menjelaskan bahawa rumah mereka telah dibakar serta keluarganya dipisahkan manakala orang awam pula ditembak tanpa belas kasihan, menjelaskan betapa takutnya kehidupan mereka sekarang.

5. Masa depan makin kabur 

sudan now

Sejak perang di Sudan bermula, sudah lebih 12 juta rakyat negara ini menjadi pelarian. Sekurang-kurangan 40,000 tercatat terbunuh, manakala berjuta lagi menghadapi kebuluran akibat kemusnahan ekonomi dan sekatan bantuan.

Di beberapa kawasan, penduduk terpaksa makan makanan haiwan demi untuk meneruskan kehidupan mereka. Bandar-bandar musnah, sistem kesihatan juga makin lumpuh dan masa depan negara semakin dipersoalkan.

Apa yang membimbangkan ialah masa depan Sudan kini semakin kabur. Negara itu kini berisiko terbahagi kepada dua entiti yang berasingan ekoran kedua-dua pihak ingin merebut kuasa, tambahan pula masing-masing mendapat sokongan daripada kuasa luar menjadikan perkara ini menjadi lebih serius.

Menurut GPM Malaysia, SAF yang diketuai oleh al-Burhan ini mendapat sokongan Mesir, serta hubungan tidak langsung dengan Arab Saudi. Sementara itu, RSF pula dikatakan mendapat sokongan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Russia (Kumpulan Wagner), Chad, ketua suku kaum Arab dan Libya.

Sokongan asing ini menjadikan konflik di Sudan bukan lagi perang saudara semata, tapi perebutan kuasa global yang menyeluruh, menjadikan Sudan untuk mendapat kerajaan bersatu semakin tipis.

Disebabkan perebutan kuasa antara dua jeneral ini, yang menjadi korban paling besar ialah rakyat biasa yang tidak bersalah. Walaupun laporan genosid telah dikeluarkan oleh beberapa badan antarabangsa, tindak balas global masih perlahan, seolah-olah menutup mata terhadap penderitaan rakyat Sudan.

Sumber: BBC, Al Jazeera

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |