Sembunyikan status hubungan, sering padam chat atau ada individu istimewa yang sering menjadi tempat meluah perasaan. Semua situasi yang disebutkan itu korang rasa sekadar perkara biasa atau sebenarnya satu bentuk kecurangan?
Inilah yang dipanggil sebagai micro-cheating, satu istilah yang semakin hangat diperkatakan kerana dipercayai boleh menjadi permulaan kepada masalah yang lebih besar dalam sesebuah hubungan.
Ia tidak semestinya melibatkan hubungan fizikal atau tidur dengan orang lain. Sebaliknya, ia merujuk kepada tindakan-tindakan kecil yang mungkin nampak remeh, tetapi cukup untuk membuatkan pasangan rasa tidak selamat, hilang kepercayaan dan mula tertanya-tanya,
“Aku ni masih dihormati ke dalam hubungan ini?”
Micro-cheating selalunya berlaku secara perlahan-lahan. Ada yang menganggapnya perkara biasa, tetapi ada juga yang melihatnya sebagai petanda awal kepada masalah yang lebih besar.
Antara contoh yang sering dikaitkan dengan micro-cheating ialah:
1. Padam chat sebab takut pasangan nampak
Kalau perbualan itu benar-benar biasa dan tiada apa yang perlu disembunyikan, mengapa perlu dipadam?
Tindakan menyembunyikan mesej atau memadam sejarah perbualan boleh menimbulkan persoalan sama ada terdapat sesuatu yang tidak mahu diketahui pasangan.
2. DM guna fake account
Buat akaun palsu semata-mata untuk menghantar DM kepada seseorang yang menarik perhatian anda mungkin nampak remeh, tetapi ia boleh dikategorikan sebagai micro-cheating.
Ia disebabkan tindakan tersebut biasanya dilakukan secara sembunyi dan tidak diketahui oleh pasangan. Walaupun tiada pertemuan atau hubungan romantik berlaku, perbuatan mencari perhatian, berbalas mesej, atau cuba mendekati orang lain secara rahsia boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan kecil yang menjejaskan kepercayaan dalam hubungan.
3. Simpan seseorang sebagai ‘backup emosi’
Setiap kali bergaduh dengan pasangan, individu itu yang dicari terlebih dahulu. Bukan untuk menyelesaikan masalah, tetapi untuk mendapatkan perhatian, sokongan dan rasa difahami.
Tapi bila hubungan emosi mula terbina dengan orang lain, ia boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan.
Artikel berkaitan: 5 Selebriti Yang Pernah Curang Ketika Pasangan Sedang Hamil
Artikel berkaitan: “Once a cheater always a cheater” – Betul Ke Orang Curang Berkemungkinan Buat Lagi?
4. Sembunyikan status hubungan di media sosial
Tidak semua orang gemar mempamerkan kehidupan peribadi di media sosial dan itu bukan satu kesalahan.
Namun situasinya berbeza jika seseorang sengaja mahu kelihatan seperti masih bujang walaupun sedang menjalinkan hubungan.

5. Terlalu menjaga hati orang luar berbanding pasangan sendiri
Pasangan terasa hati tidak mengapa, asalkan orang lain tidak berkecil hati.
Jika perkara ini berlaku secara berterusan, ia boleh membuatkan pasangan berasa tidak dihargai dan tidak lagi menjadi keutamaan.
6. Ada “work wife” atau “work husband”
Istilah work wife dan work husband sering digunakan untuk menggambarkan hubungan yang sangat rapat dengan rakan sekerja.
Awalnya hanya sekadar gurauan atau menunjukkan keserasian ketika bekerja. Tapi, bila individu tersebut menjadi orang pertama yang dicari untuk berkongsi cerita, meluahkan perasaan atau mendapatkan sokongan emosi, batas antara hubungan profesional dan peribadi boleh menjadi kabur.
Mungkin tiada hubungan romantik yang berlaku, tetapi kebergantungan emosi yang berlebihan kepada orang lain boleh membuatkan pasangan berasa terpinggir dan tidak lagi menjadi individu paling penting dalam hidup anda.
Pun begitu, tidak semua pakar bersetuju bahawa setiap bentuk micro-cheating adalah kecurangan. Ada yang berpendapat sedikit perasaan tertarik kepada orang lain atau interaksi sosial yang mesra adalah perkara normal dalam kehidupan.
Apa yang membezakan keadaan itu dengan micro-cheating ialah niat, tahap keterlibatan emosi dan sama ada perkara tersebut disembunyikan daripada pasangan.
Ramai pakar menegaskan bahawa isu sebenar bukanlah pada tindakan itu sendiri, tetapi kesan yang ditinggalkan terhadap kepercayaan dalam hubungan.
Jika sesuatu perkara dilakukan secara rahsia atau membuat pasangan berasa dikhianati, ia mungkin menandakan terdapat masalah yang perlu dibincangkan bersama.
Hakikatnya, micro-cheating bukan tentang satu perbuatan besar yang berlaku secara tiba-tiba.
Ia adalah tentang banyak perkara kecil yang perlahan-lahan menghakis kepercayaan dan rasa hormat dalam sesebuah hubungan.
Jadi, bagi korang macam mana pula? Adakah semua ini perkara normal pada zaman sekarang, atau sebenarnya satu red flag yang tidak boleh dipandang ringan?

2 hours ago
5






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















